Anugerah terhebat surah Al-Mulk

Cerita Utama Minggu Ini Zalina Majid 03-Ogo-2020
Surah al-Mulk bermaksud ‘Kerajaan’ © Mehmet Çetin | Dreamstime.com

Surah al-Mulk dengan perkataan arabnya ( الملك ) membawa maksud ‘Kerajaan’. Ia juga disebut sebagai at-Tabarak yang bererti ‘Maha Suci’. Surah ini mengandungi 30 ayat dan surah yang ke-67 di dalam al-Quran.

Secara umumnya, surah al-Mulk banyak mengisahkan kekuasaan Allah SWT terhadap makhluk ciptaan-Nya. Gambaran kekuasaan itu sedia ada pada nama surah al-Mulk yang iaitu ‘Kerajaan’.

Percaya atau tidak, kita akan memiliki banyak kelebihan dengan menjadikan surah ini sebagai amalan harian. Amalan itu perlulah dibaca dengan konsisten dan kita akan perolehi kelebihan-kelebihan yang dijanjikan.

Terdapat banyak hadis tentang fadilat surah al-Mulk. Di sini  dibawakan lima kelebihannya secara ringkas:

Menjadi penyelamat dan mencegah kita dari seksaan kubur 

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita beberapa cara untuk selamat dan selesa ketika berada di alam barzakh, antaranya membaca surah al-Mulk pada setiap malam.

Saidina Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Sesiapa membaca surah al-Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT di dalam kuburnya. Bila azab hendak sampai ke kepala, terdengar satu seruan: “Engkau tidak boleh datang ke bahagian kepala ini kerana ada surah al-Mulk.”

Dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga

Walaupun membaca al-Mulk sudah menjadi amalan zikir harian, akan tetapi balasan syurga dan neraka semesti bergantung juga kepada amal ibadah kita yang lainnya. Oleh itu, surah al-Mulk menjadi sebahagian timbangan dan hujah kita di akhirat kelak.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Sebahagian surah-surah di dalam al-Quran Ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu adalah surah al-Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah)

Berseri wajahnya seperti Nabi Yusof a.s

Saidina Ali r.a berkata: “Barangsiapa yang mengamalkan surah al-Mulk, nescaya di bawa ia kepada hari Kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti Nabi Yusof a.s.”

Hidup disayangi orang sekeliling

Amalan yang baik dan istiqamah membentuk peribadi mulia seseorang malah kita akan dihormati oleh makhluk-Nya.

Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah al-Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”

Keimanan di dalam hati

Hati yang penuh keimanan tentunya mendapat rahmat Allah SWT. Kita sedia maklum bahawa membaca ayat-ayat Allah sudah pasti akan mendapat ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya surah al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).

Persediaan untuk akhirat itu wajib dilakukan supaya kita terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk. Justeru, rebut dan kuasailah kelebihan yang Allah janjikan sebaik-baiknya dan sentiasa perbanyakkan amalan.