Apa dia Baitul Hikmah di zaman Islam Abbasiyah?

Dunia Nur Adibah Ramly 13-Sep-2020
dreamstime_s_78722693
Universiti Al-Mustansiriya di Baghdad, Iraq ditubuhkan 1227H oleh Khalifah Abbasiyah, Al-Mustansir © Sergey Mayorov | Dreamstime.com

Era kekhalifahan Abbasiyah dikenali sebagai zaman kegemilangan Islam. Ia digelar zaman kegemilangan Islam kerana pencapaian luar biasa dalam pelbagai aspek kehidupan. Pendidikan adalah salah satu daripadanya. Zaman Khalifah Abbasiyah banyak membantu meningkatkan pendidikan masyarakat.

Baitul Hikmah merupakan salah satu pencapaiannya. Ia merupakan sebuah kompleks pendidikan dan dianggap juga sebagai perpustakaan awam.

Masyarakat saintis

Baitul Hikmah juga dianggap sebagai komuniti para saintis. Kebanyakan saintis yang berjaya dari seluruh dunia mengunjungi Baitul Hikmah untuk berkongsi dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Konsep kerja yang praktikal menggunakan kaedah saintifik menjadi keutamaan. Banyak penemuan dalam pelbagai bidang telah dilakukan di sini. Baitul Hikmah adalah perhimpunan cendekiawan yang berasal daripada pelbagai bahagian dunia yang berkumpul membantu untuk meningkatkan pengetahuan manusia.

Jabatan terjemahan

Jabatan penterjemahan adalah sebuah jabatan yang unik dalam Baitul Hikmah. Ia berlanjutan selama lebih dari dua abad dan memainkan peranan penting kepada masyarakat yang tinggal di pelbagai kawasan. Contohnya, transkrip yang ditulis dalam pelbagai bahasa telah diterjemah di sini. Karya yang diterjemah membantu dalam bidang sains dan bidang kehidupan lain.

Begitu juga dengan transkrip dari zaman Yunani, Rom, Parsi, dan banyak lagi transkrip yang turut diterjemah ke dalam bahasa Arab. Ini termasuklah falsafah Yunani yang diterjemah ke dalam bahasa Arab. Kesimpulannya, jabatan ini banyak menterjemah manuskrip sarjana daripada pelbagai bahasa, dan ia telah meningkatkan pengetahuan masyarakat Islam.

Perpustakaan pelbagai tamadun

Baitul Hikmah adalah sebuah perpustakaan yang hebat. Banyak skrip karya terjemahan daripada tamadun lain yang diterjemah ke dalam bahasa Arab disimpan di sini. Perpustakaan ini juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan ilmu pengetahuan umat Islam. Baitul Hikmah turut mengumpulkan pengetahuan daripada peradaban lain, mentafsir dan memperbaiki dengan terperinci, apabila wujudnya perpustakaan ini.

Jabatan penyelidikan dan pembangunan

Ia adalah bukti bahawa para sarjana Muslim telah membuka jalan dalam dunia sains  kerana kajian yang dilakukan oleh para sarjana Muslim cukup moden dan maju. Selain itu, para sarjana Muslim juga membuat kajian tentang ilmu fizik, kimia, astronomi, sains umum, biologi, perubatan, fisiologi manusia bersama dengan penyakit manusia dan haiwan.

Di samping itu, doktor Muslim juga sangat maju sehingga mereka telah menemukan banyak ubat untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Akhir sekali, mereka juga telah mencipta pelbagai bahan kimia baharu yang masih digunakan di dunia moden hari ini.

Saintis Muslim

Para saintis Muslim yang berkhidmat di Baitul Hikmah merupakan cendekiawan terbaik ketika itu. Sumbangan mereka terhadap ilmu sains dan pengetahuan moden masih dihargai di banyak negara  maju.  Justeru, jelaslah bahawa Baitul Hikmah adalah permata dalam sejarah Islam.

Kesimpulannya, Baitul Hikmah yang dibina semasa zaman Khalifah Abbasiyah telah memberi kemakmuran yang cukup besar kepada kerajaan Khalifah Islam.  Justeru, ia adalah punca kepada kemajuan kerajaan khalifah dan rakyatnya. Lebih jauh lagi, perpustakaan dan pusat penterjemahan Baitul Hikmah telah membuka ruang bagi ilmu sains dan teknologi moden.