Apa itu mata wang Kripto, Bitcoin?

Teknologi 08 Mac 2021 Hannan
Terkini oleh Hannan
Apa itu mata wang Kripto, Bitcoin?
Apa itu mata wang Kripto, Bitcoin? © Kittichai Boonpong | Dreamstime.com

Mata wang Kripto merupakan sejenis sistem pembayaran digital yang tidak memerlukan bank untuk mengesahkan sebarang transaksi. Mata wang ini boleh digunakan secara dalam talian sebagai tukaran kepada servis atau barang tertentu.

Sebenarnya, mata wang kripto bukanlah terhad kepada Bitcoin atau Ethereum sahaja. Menurut CoinLore, sebanyak 6,700 jenis mata wang kripto yang berbeza didagangkan secara dalam talian setiap hari.

Mata wang kripto berfungsi menggunakan sebuah teknologi yang dikenali sebagai blockchain atau ‘blok rantai’. Untuk pengetahuan anda, blockchain merupakan sejenis pangkalan data yang spesifik. Berbeza dengan cara biasa, blockchain menyimpan data di dalam bentuk bongkah atau blok (block) yang dihubungkan bersama.

Mata wang kripto mendapat namanya melalui perkataan encryption yang bermaksud ‘penyulitan’. Tujuan utama penyulitan dilakukan adalah untuk memastikan mata wang kripto ini selamat untuk digunakan.

Apa itu mata wang Kripto, Bitcoin?

Bitcoin merupakan salah satu contoh mata wang Kripto yang dicipta pada tahun 2009 oleh seseorang yang menggunakan alias Satoshi Nakamoto. Pembayaran menggunakan bitcoin tidak memerlukan sebarang orang tengah yang bermaksud, tidak ada bank!

Cuba bayangkan, anda ada banyak duit, tetapi semua duit itu berada di dalam talian. Begitu jugalah dengan bitcoin. Anda boleh gunakannya untuk membeli pelbagai jenis produk dan servis secara rahsia (anonymous).

Walau bagaimanapun, bukan semua tempat menerima pembayaran di dalam bentuk bitcoin. Malah, ada negara yang bertindak mengharamkan penggunaan mata wang kripto ini.

Bitcoin boleh didapati dengan 3 cara utama:

  1. Membeli bitcoin dengan duit sebenar
  2. Menjual barang sebagai tukaran dengan bitcoin
  3. Menghasilkan bitcoin menggunakan komputer

Tetapi, bagaimanakah Bitcoin dihasilkan?

Bitcoin boleh dihasilkan melalui satu proses yang dikenali sebagai ‘mining’atau perlombongan. Melalui proses mining, mereka yang mengambil bahagian untuk melakukan validasi transaksi mata wang Kripto ini akan menerima imbuhan di dalam bentuk bitcoin.

Apabila pengguna bitcoin menjadi semakin ramai, proses mining ini jadi semakin sukar untuk dilakukan. Malah, kos elektrik dan peralatan yang digunakan untuk mining juga bukanlah murah!

Jika anda mulakan projek mining pada hari ini, ia mungkin makan masa bertahun-tahun lagi sebelum anda boleh mendapatkan satu bitcoin. Menurut Forbes, mereka yang melakukan perlombongan Bitcoin ini akhirnya akan menggunakan hampir 60%-80% keuntungan mereka hanya untuk membayar bil elektrik.

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu melakukan mining untuk mendapatkan bitcoin. Anda sebenarnya boleh membeli bitcoin menggunakan wang Fiat. Tetapi, disebabkan nilainya yang tidak tetap, pembelian bitcoin menggunakan wang sebenar tidak digalakkan.

Berbaloikah melabur dengan mata wang Kripto?

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang menyebabkan mata wang Kripto seperti Bitcoin mendapat perhatian sekarang.  Antara yang paling jelas, liputan rancak dan meluas yang dilakukan oleh media telah membuatkan harga bitcoin melonjak naik.

Seterusnya, semakin banyak syarikat di seluruh dunia yang mula berani melabur menggunakan mata wang kripto. Malah, ramai yang tertarik untuk membelinya sebagai simpanan sewaktu kecemasan.

Walaupun pembelian bitcoin dilihat seperti sesuatu yang berisiko tinggi, harganya boleh mencecah ratusan ribu ringgit jika reputasinya terus kukuh. Namun, untuk mencapai harga yang tinggi, nilainya perlulah menjadi lebih stabil pada masa hadapan.

Secara umum, para sarjana sedunia mempunyai pendapat yang berbeza  dalam menentukan hukum Bitcoin. Ada tiga pandangan:

  1. Pandangan yang mengharamkan
  2. Pendapat yang mengharuskan
  3. Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi)