Apa itu positiviti toksik?

Psikologi Hannan
Hannan
Apa itu positiviti toksik?
Apa itu positiviti toksik? © Suphaksorn Thongwongboot | Dreamstime.com

“Jangan banyak mengeluh, bersyukurlah masih ada kerja dan tempat untuk berteduh!” Mungkin ramai antara kita yang tidak nampak salahnya dengan ayat yang diutarakan sebentar tadi.

Tetapi, tahukah anda ini merupakan salah satu contoh positiviti toksik?

Apa itu positiviti toksik?

Semua orang tahu dalam kehidupan ini langit tidak selalunya cerah. Oleh sebab itu, sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada dibelenggu masalah-masalah tertentu. Tambah lagi, ramai yang sedang melalui masa yang sukar ketika pandemik ini.

Ada yang diberhentikan kerja. Ada juga yang terpaksa berjauhan dengan keluarga dan hidup sendirian sambil dibelenggu rasa sunyi. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika ramai yang bertindak memaksa diri untuk sentiasa berfikiran posititif pada waktu-waktu sebegini.

Tetapi, sejauh manakah kita dapat bertahan sebelum kata-kata positif ini menjadi toksik dan mula memakan diri? Positiviti toksik boleh muncul dalam pelbagai bentuk.

Kadangkala, ia datang dalam bentuk kritikan oleh orang tersayang ketika anda cuba meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Ia juga boleh datang dalam bentuk nasihat positif seperti ‘cuba bersyukur dengan apa yang ada’, ‘cuba pandang secara positif’ atau ‘don’t worry, be happy’.

Apakah maksud positiviti toksik?

Positiviti toksik bukanlah hanya kata-kata positif semata-mata. Tetapi, ia lebih kepada keadaan seseorang yang memaksa diri untuk kekal positif walaupun dalam satu keadaan yang menyedihkan atau mengecewakan.

Malah, mereka yang terbelenggu dengan positiviti toksik ini sering menafikan emosi yang sukar seperti kesedihan, kegelisahan dan kekecewaan. Semua emosi ini juga dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan bukannya sebagai satu perasaan yang normal.

Menurut Dr. Jaime Zuckerman, seorang ahli psikologi klinikal, positiviti toksik membuatkan seseorang merasakan ia merupakan sesuatu yang tidak normal untuk berasa sedih.

Malah, mereka juga akan rasa bersalah dan malu dengan diri sendiri saat mereka rasa tertekan atau kecewa dengan hidup, seakan-akan semua perasaan ini merupakan tanda anda tidak bersyukur dengan kehidupan!

OK untuk rasa tidak OK!

Dr. Zuckerman turut menegaskan bahawa sebagai seorang manusia, kita tidak boleh pilih emosi apa yang kita ingin rasai. Menurut beliau lagi, semua emosi ini adalah sesuatu yang normal dan sebahagian daripada naluri manusia.

Tidak sihat jika kita terus menerus memaksa diri untuk bersifat positif walaupun ketika sedang dilanda kesusahan. Selain itu, jika anda didatangi oleh seorang sahabat yang sedang kesedihan, cubalah untuk menjadi seorang pendengar yang baik.

Elakkan memberi nasihat yang positif dengan harapan mereka akan ‘tersedar’ dan tidak lagi mengeluh tentang situasi hidup mereka. Sejujurnya, anda tidak boleh membuatkan seseorang rasa lega dengan menyuruh mereka untuk ‘berhenti bersedih’ atau ‘cuba untuk kekal gembira’.

Sebaliknya, cuba tenangkan mereka dan tekankan bahawa semua perasaan yang mereka alami adalah normal. Kadangkala perkara buruk boleh berlaku dan semua ini berada di luar kawalan kita.

Positiviti toksik ibarat racun

Sebenarnya, positiviti toksik merupakan sesuatu yang amat berbahaya dan umpama racun. Anda boleh mengelakkan positiviti toksik terhadap diri sendiri dan orang lain dengan cara mengenal pasti tingkah laku ini.

Sebagai permulaan, jangan hukum diri sendiri ketika anda dilanda musibah. Biarkan diri anda merasai semua emosi tersebut dan terima semuanya dengan hati yang terbuka, tidak kiralah ia bersifat positif atau negatif.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.