Apa itu Rangkaian Persendirian Maya, VPN dalam bahasa Inggeris

Teknologi Hannan
Terkini oleh Hannan
Apa itu Rangkaian Persendirian Maya, VPN dalam bahasa Inggeris
Apa itu Rangkaian Persendirian Maya, VPN dalam bahasa Inggeris © Melpomenem | Dreamstime.com

Apakah Virtual Private Network yang secara ringkasnya, VPN atau Rangkaian Persendirian Maya? Ia merupakan satu rangkaian persendirian yang melakukan penyulitan data (encryption) ketika ia bergerak dari satu tempat ke tempat lain di dalam rangkaian internet.

Ini bermaksud, pengguna VPN boleh melayari internet dengan aman dan selamat tanpa perlu risau mengenai privasi.

Walau bagaimanapun, fungsi VPN bukanlah terhad kepada itu sahaja. Ada banyak lagi kelebihan VPN yang anda mungkin tidak tahu.

Tetapi, sebelum itu, mari kita baca lebih lanjut mengenai VPN di dalam kupasan di bawah.

Apa itu VPN dan bagaimana ia berfungsi?

Secara mudahnya, VPN akan menyambungkan komputer, telefon bimbit atau tablet anda kepada komputer atau pelayan (server) lain yang berada di dalam rangkaian internet.

Pelayan ini boleh berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari tempat anda sekarang. Contohnya, ia boleh terletak di negara lain seperti Rusia, Jepun atau Amerika Syarikat.

Di antara dua lokasi ini, VPN akan menghasilkan satu ‘terowong data’ yang memastikan data anda selamat daripada sebarang ‘mata-mata’ yang memandang.

Apabila anda menggunakan VPN, semua data anda akan melalui proses encryption. Proses ini akan menjadikan data anda sukar untuk dibaca ketika ia dihantar melalui pelayan tersebut.

Servis VPN yang bagus bukan sahaja mampu melindungi data pengguna, ia juga boleh memastikan tempat asal pengguna dan informasi peranti yang digunakan turut tersembunyi.

VPN dan kegunaan sebenarnya

Mungkin ramai yang masih tidak pasti, apa itu VPN dan kegunaannya yang sebenar?

Jika anda melayari internet menggunakan pelayar peribadi di rumah, mungkin anda tidak perlu risau tentang keselamatan data anda.

Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan sambungan Wi-Fi awam, anda perlu menggunakan VPN untuk melindungi maklumat peribadi anda daripada dicuri oleh penggodam. Kebanyakan WI-Fi awam bersifat terbuka dan tidak mempunyai sebarang sistem penyulitan.

Tidak menjadi masalah jika anda hanya menggunakan Wi-Fi awam untuk membuat carian Google.

Walau bagaimanapun, anda perlu menggunakan VPN jika anda ingin mengakses perbankan atas talian atau membuka emel yang berkaitan dengan kerja untuk tujuan keselamatan.

Siapa yang perlu gunakan VPN?

Selain mereka yang bergantung kepada penggunaan Wi-Fi awam, VPN juga mungkin berguna kepada mereka yang sedang mengembara ke luar negara.

Sebagai contoh, bayangkan anda perlu ke negara China untuk tujuan kerja. Di negara tersebut, kebanyakan media sosial yang kita gunakan sekarang (seperti Facebook) telah disekat dan tidak boleh digunakan.

Dengan VPN, anda boleh menggunakan servis berikut seperti biasa. Jadi, anda bebas melayari internet seperti anda berada di rumah sendiri.

Malah, jika anda melanggan perkhidmatan penstriman seperti Netflix, Hulu (USA) dan sebagainya, anda boleh mengakses akaun anda seperti biasa jika anda menggunakan VPN.

Privasi lebih baik dengan VPN

Sekarang, pasti anda sudah tahu apa itu VPN. Jadi, adakah anda ingin menggunakannya? Keputusan kini terletak di tangan anda.

Jika anda risau mengenai kebocoran privasi anda, penggunaan VPN merupakan cara yang terbaik dan boleh membantu anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Walau bagaimanapun, sebelum menggunakan sebarang servis VPN, pastikan anda baca dulu semua terma dan syaratnya! Jangan mudah percaya pada servis VPN yang percuma.

Seperti yang ramai sudah serba maklum, servis percuma bermaksud andalah produknya!

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.