Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Apa kebaikan tanaman hijau dalam rumah?

Alam Sekitar 10 Jan 2021
Pilihan oleh Md Wa'iz
Apa kebaikan tanaman hijau dalam rumah?
Apa kebaikan tanaman hijau dalam rumah? © Sonelly745 | Dreamstime.com

Ramai antara kita yang gemarkan kehijauan di dalam rumah. Ada yang meletakkan pokok plastik di dalam rumah, malah ada juga yang meletakkan tanaman hidup yang perlu disiram. Namun, jika anda memilih untuk meletakkan pokok hidup, ia ternyata memberikan manfaat kepada anda.

Apakah manfaat tersebut? Di sini kami fokuskan lima manfaat utama meletakkan pokok hidup di dalam rumah.

Kurangkan tahap tekanan atau stres

Satu kajian mendapati bahawa, kehadiran tanaman di dalam kediaman atau pejabat dapat membuatkan kita berasa lebih selesa dan juga tenang. Para penyelidik juga mendapati, kerja-kerja berkebun yang dilakukan di dalam rumah boleh membantu menurunkan tindak balas stres terhadap peserta kajian terbabit.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa, tinggal di dalam kediaman atau pejabat dengan tanaman hidup dapat mengurangkan tekanan fisiologi dan psikologi.

Satu terapi untuk anda

Berkebun di dalam rumah juga dapat membantu individu yang mengalami gejala gangguan mental. Para penyelidik telah menggunakan terapi hortikultur atau tanaman untuk meningkatkan perasaan kesejahteraan dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan mental.

Ini termasuklah gangguan kemurungan, kegelisahan, demensia, dan lain-lain gangguan. Malah, terdapat sebuah klinik perubatan di Manchester, England yang memberikan tanaman dalam pasu kecil untuk pesakit yang mempunyai gangguan kemurungan dan gejala keresahan.

Bantu sembuhkan penyakit dengan cepat

Sekiranya anda melihat kepada kehijauan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan, ia mungkin boleh mempercepatkan kesembuhan anda daripada penyakit, kecederaan, atau pembedahan.

Kajian ada menunjukkan bahawa mereka yang dalam tempoh pemulihan daripada pembedahan memerlukan ubat sakit yang lebih sedikit setelah mereka melihat tanaman hijau.

Kajian tersebut juga menyatakan bahawa mereka ini tinggal di hospital dalam tempoh masa yang lebih pendek berbanding mereka yang tidak melihat tanaman hijau semasa tempoh pemulihan mereka. Tetapi kajian ini memberi tumpuan kepada tumbuh-tumbuhan dan pemandangan semula jadi di persekitaran hospital dan bukannya di rumah.

Tanaman dalam rumah membuatkan anda lebih fokus

Dalam kajian kecil yang melibatkan seramai 23 peserta, penyelidik menempatkan pelajar di dalam kelas dengan tanaman palsu, tanaman hidup, gambar tumbuhan, dan tanpa sebarang tumbuhan.

Imbasan otak peserta menunjukkan bahawa pelajar yang belajar dengan tumbuh-tumbuhan hidup di dalam kelas lebih memberikan tumpuan, berbanding mereka yang belajar bersama tumbuhan plastik atau tanpa sebarang tumbuhan.

Tingkatkan mutu udara dalam rumah

Terdapat beberapa kajian yang menyatakan bahawa, tanaman dalam rumah boleh memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Tumbuhan hidup dalam rumah berkemampuan menapis segala zarah debu dalam rumah.

Namun, ia hanya berkesan jika anda meletakkan banyak tanaman dalam rumah. Tanaman yang sedikit tidak begitu berkesan untuk menapis udara dalam rumah anda. Tanaman hijau dalam rumah ternyata memberikan impak yang sangat positif kepada kesihatan fizikal dan mental manusia.

Namun, ia mestilah tanaman asli atau tanaman hidup. Pokok palsu atau plastik tidak boleh memberikan sebarang kesan seperti yang dinyatakan di atas.