Apa khasiat buah mangga? Bukan hanya pencuci mulut

Makanan Sihat Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Apa khasiat buah mangga? Bukan hanya pencuci mulut
Apa khasiat buah mangga? Bukan hanya pencuci mulut © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Mangga atau nama saintifiknya Mangifera Indica berasal dari keluarga Anacardiaceae. Ia mengandungi pelbagai khasiat penting seperti air, tenaga, protein, lemak, karbohidrat, serat, gula, kalsium, zat besi, magnesium, kalium, vitamin C dan folat.

Selain itu, vitamin seperti B, A, E dan K serta mineral seperti besi, zink, mangan dan selenium juga terkandung di dalam mangga.

Popular sebagai pencuci mulut

Mangga adalah pencuci mulut yang popular kerana rasanya yang enak dan manis. Selain enak dimakan segar, mangga yang masak ranum juga sedap dibuat jus.

Mangga dikatakan berasal dari kawasan Indo-Burmadan dan Asia Tenggara. Di Malaysia, mangga juga dikenali dengan nama mempelam atau buah pauh.  Kawasan utama penanaman mangga di negara ini ialah di Perlis, Perak dan Kedah.  Walau bagaimanapun, ia turut ditanam secara kecil-kecilan di beberapa negeri lain.

Mangga boleh berbuah seawal usia dua tahun jika pokok dari jenis dicantum atau dikahwinkan. Malahan, pokok ini juga boleh ditanam dalam pasu besar berukuran 15 sentimeter tinggi dan 11 sentimeter panjang, kecil sedikit pun boleh iaitu dari jenis pasu seramik supaya tahan lama.

Pemilihan benih mangga yang dicadangkan adalah Chokanan, Harum Manis, mangga Nam Dok Mai dan Red Star atau mangga Taiwan. Ia adalah jenis mangga yang cepat dan rajin berbuah. Pokok manga memerlukan baja penyubur dari jenis 15-15-15 yang seimbang dan baja penggalak buah jenis NPK 12.12.17.

Buah mangga terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk mengikut klon.  Kulitnya hijau kekuningan atau merah apabila masak manakala isinya kuning pucat hingga ke warna oren. Setiap buah mengandungi biji bersabut keras.  Buah yang muda boleh dibuat rojak atau jeruk. Ia juga boleh dikeringkan, diproses menjadi jus, jem dan sebagainya.

Pelbagai khasiat buah mangga

Khasiat mangga boleh menjadikan kulit menawan, lembut dan lembap tanpa menggunakan solekan. Vitamin C adalah salah satu sumber penting untuk meningkatkan paras antioksidan manakala vitamin A menghalang proses penuaan dan jerawat. Vitamin E boleh menghalang kekeringan kulit, vitamin B3 untuk merawat pigmentasi manakala vitamin K berperanan menghilangkan bintik-bintik hitam dan parut.

Mangga juga baik untuk kesihatan jantung.  Kandungan mikronutrien seperti magnesium, kalium dan kalsium menjadikan mangga salah satu makanan pilihan untuk kesihatan jantung.  Ia juga baik untuk sistem penghadaman kerana kandungan air dan serat yang tinggi. Gabungan dua unsur ini membantu sembelit dan cirit-birit.

Enzim amilase di dalam mangga akan menukarkan karbohidrat kepada gula seperti glukosa dan maltosa.  Ia akan menghuraikan molekul makanan besar kepada yang lebih kecil bagi memudahkan penghadaman dan penyerapan.  Ia boleh membantu mengekalkan kesihatan sistem penghadaman anda.

Mangga juga baik untuk kesihatan mata.  Dua antioksidan penting untuk mata iaitu lutein dan zeaxantin terdapat dalam mangga.  Antioksidan ini melindungi mata daripada katarak dan degenerasi makula berkaitan usia.  Selain itu vitaman A dalam mangga dapat meningkatkan kesihatan mata dan kekurangan vitamin A dikaitkan dengan rabun malam.

Bagi anda yang inginkan kulit dan rambut yang sihat, vitamin C pada mangga adalah sumber yang baik. Vitamin C baik untuk penghasilan kolagen.  Kolagen adalah protein yang memberi struktur kepada kulit dan rambut.  Kolagen yang mencukupi dapat melambatkan kedutan dan lendutan pada kulit.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.