Apa Makanan Yang Perlu Elak di Waktu Malam?

Makan malam sebaiknya tidak lebih dari pukul 8 malam.  Jika anda terlalu sibuk sehingga terlajak waktu makan malam, pastikan jangan melebihi jam 9.00 malam. Fakta ini bukannya baru, tetapi ia sebenarnya menjadi amalan Rasulullah S.A.W.

Tetapi jangan pula sampai tidak makan malam. Sesiapa yang meninggalkan makan malam, dirinya akan cepat dimamah usia bahkan kandungan kolesterol dalam badan juga akan semakin berganda. Ia juga boleh menyebabkan masalah kegemukan.

Selain waktu makan yang perlu diperhatikan, jenis makanan yang diambil juga perlu diambil kira. Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh membuat perut membuncit, berat badan naik serta sukar melelapkan mata.

Cuba semak senarai makanan di bawah. Lihat apa yang perlu dielakkan untuk makan malam.

1) Pasta

Jika anda sedang berusaha membentuk otot (bina badan), pengambilan karbohidrat memang membantu. Bagaimanapun ada pilihan yang lebih bijak berbanding pasta. Pasta merupakan salah satu makanan tinggi karbohidrat yang boleh menyebabkan ukur lilit pinggang bertambah jika diambil pada waktu makan malam. Namun dibenarkan jika makan malam anda selepas melakukan senaman.

2) Coklat

Coklat bukan sahaja tinggi dengan kandungan gula dan lemak, tetapi ia juga mengandungi kafein. Jika anda seorang yang sensitif atau alah dengan kafein, coklat boleh membuatkan kualiti tidur anda terganggu. Jangan jadi burung hantu! Tidur yang tidak mencukupi boleh menjejaskan proses penurunan berat badan.

3) Cili api / cili padi

Benar, pengambilan makanan pedas boleh membakar lemak badan. Bagaimanapun pengambilan cili padi pada masa tidak sesuai boleh menyebabkan pedih ulu hati terutamanya jika diambil selepas jam 9.00 malam. Cili akan buat perut rasa tidak selesa sehingga membuat tidur tidak lena.

4) Daging merah atau makanan berprotein tinggi

Pengambilan protein memang bagus kepada tubuh badan kerana ia mampu memperbaiki tisu-tisu badan terutama setelah melakukan latihan senaman secara intensif. Bahkan, protein juga kurang impak kepada tahap gula dalam darah.

Bagaimanapun, daging merah adalah salah satu makanan yang sukar untuk dicerna. Selain itu, makanan berprotein tinggi juga cenderung membuat proses pencernaan lebih lama sehingga membuatkan seseorang itu sukar hendak melelapkan mata.

5) Pizza

Mengikut kajian, topping berkeju bersama sos tomato boleh mengubah tidur malam menjadi mimpi ngeri. Sebabnya, kandungan asid dalam tomato boleh menyebabkan sakit perut pada tengah malam. Lebih teruk, kandungan karbohidratnya juga sangat tinggi. Jadi, risiko berat badan bertambah lebih berganda.

Jadi mulai sekarang perhatikan menu makan malam anda agar lebih sihat dan langsing. You are what you eat!

Sumber : http://www.myhealth.gov.my 

Kredit Foto : Amirali mirhashemian & Adi Chrisworo, Unsplash