Apa manfaat makan Kurma? Kita lihat semula kelebihannya

Makanan Sihat 18 Apr 2021 Hannan
Hannan
Apa manfaat makan Kurma? Kita lihat semula kelebihannya
Apa manfaat makan Kurma? Kita lihat semula kelebihannya © Masoud Zaitoun | Dreamstime.com

Kini telah hampir seminggu Ramadan. Sudah tentulah, pelbagai jenis juadah boleh didapati untuk dihidangkan ketika berbuka puasa. Walau bagaimanapun, tidak ada satu pun makanan yang dapat menandingi buah kurma pada bulan Ramadan.

Seperti yang kita tahu, buah kurma mempunyai pelbagai manfaat dari segi kesihatan. Mari kita lihat kembali, ada apa dengan buah kurma.

Pilihan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa

Buah kurma merupakan pilihan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa. Perkara ini bertepatan berdasarkan sebuah hadis:

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum sembahyang. Sekiranya, tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Buah kurma boleh dikategorikan kepada 3 jenis iaitu Khal, Rothob dan juga Tamar. Perkara yang membezakan di antara ketiga-tiga jenis kurma ini ialah tahap kematangannya.

Kurma yang segar, rangup dan masih keras dikenali sebagai kurma Khal. Kurma Ruthob pula ialah kurma yang separuh masak dan mempunyai tekstur yang sedikit lembut. Tamar pula ialah kurma kering yang telah masak sepenuhnya.

Sebiji kurma mengandungi kira-kira 235 kalori, 2.4 gram protein dan 58 gram karbohidrat yang terdiri daripada glukosa dan fruktosa di dalam setiap 100 gram. Kurma juga merupakan sumber serat yang bagus untuk badan.

Manfaat makan kurma

Selain rasanya yang sedap, kurma juga mempunyai banyak manfaat lain. Sebagai contoh:

  1. Tinggi kandungan polifenol – Polifenol merupakan sejenis antioksidan yang dapat melindungi badan daripada inflamasi. Kurma mengandungi lebih banyak polifenol daripada buah-buahan dan sayur-sayuran lain.
  2. Alternatif kepada manisan yang tidak berkhasiat – Jika anda inginkan sesuatu yang manis, cuba makan sebiji dua kurma. Bukan sahaja sedap, ia juga dapat membekalkan pelbagai nutrisi seperti vitamin dan zar besi.
  3. Mempunyai kandungan serat yang tinggi – Seperti yang dijelaskan sebentar tadi, sebiji kurma mempunyai kandungan serat yang tinggi. Malah, ia boleh membuatkan anda rasa kenyang dengan lebih lama.
  4. Tinggi kandungan potasium – Potasium merupakan sejenis elektrolit yang bagus untuk kesihatan jantung. Ia juga penting untuk pembentukan otot dan protein di dalam badan.
  5. Pengganti gula artifisial – Kurma boleh menggantikan gula di dalam masakan. Sebagai contoh, kurma amat sedap jika digunakan sebagai salah satu bahan di dalam kek.

Amalkan makan kurma Ajwa

Dalam banyak-banyak jenis kurma, kurma Ajwa merupakan salah satu jenis kurma yang sering disebut-sebut ketika bulan puasa. Malah, manfaat makan tujuh biji kurma Ajwa juga telah dinyatakan di dalam hadis berikut:

Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 5445 dan Muslim, 2047)

Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu makan buah kurma Ajwa sahaja. Ketika berbuka puasa, anda boleh mengambil apa-apa sahaja kurma. Insya-Allah, amalan ini masih dikira sebagai mencontohi sunnah Rasulullah SAW asalkan ia bukanlah sesuatu yang memudaratkan.