Apa rahsia sebenar kejayaan Elon Musk?

Perniagaan 01 Mac 2021 Hannan
Pendapat oleh Hannan
Apa rahsia sebenar kejayaan Elon Musk?
Apa rahsia sebenar kejayaan Elon Musk? © Bcpix | Dreamstime.com

Siapa yang tidak kenal dengan individu yang bernama Elon Musk? Pengasas syarikat Tesla dan SpaceX ini tidak perlu diperkenalkan lagi setelah beliau berjaya menjadi orang yang paling kaya di dunia melepasi Jeff Bezos, pengasas syarikat Amazon.

Walau bagaimanapun, kedudukan beliau di tangga pertama telah goyah setelah harga saham Tesla jatuh beberapa hari lepas disebabkan oleh ciapan beliau mengenai matawang kripto di laman sosial, Twitter.

Walaupun beliau dikenali dengan personaliti yang sedikit ‘gila-gila’, sebenarnya Elon Musk merupakan seorang yang amat rajin bekerja. Malah, beliau banyak kali ditemui tertidur di bawah meja pejabatnya disebabkan etika kerjanya yang terlampau kuat.

Elon Musk pastikan tidur hanya enam jam sehari

Menurut Elon Musk, beliau perlu mendapatkan tidur sebanyak enam jam sehari, tidak lebih dan tidak kurang supaya produktiviti beliau tidak berkurangan.

Malah, semasa ditemu ramah di dalam rancangan The Joe Rogan Experience, beliau mengakui bahawa dirinya seorang workaholic. Beliau mengahabiskan masa di pejabat sehingga pukul 1-2 pagi setiap hari untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Disebabkan jadual Elon Musk yang terlalu padat, beliau terpaksa mengurangkan masa tidur beliau hingga ke tahap yang paling minimum. Menurutnya Elon lagi, kalau boleh beliau mahu tidur kurang daripada enam jam sehari, tetapi beliau tidak boleh terus produktif tanpa tidur yang mencukupi.

Semasa produksi Tesla Model 3, Elon Musk menghabiskan hampir 120 jam seminggu di pejabatnya yang terletak berhampiran dengan barisan pemasangan Tesla.

Di sebelah meja kerjanya, terletak sebuah bantal tanpa sarung yang beliau gunakan untuk tidur di bawah meja. Kadangkala, beliau akan habiskan masa berminggu-minggu di pejabat tanpa pulang ke rumah.

Pengasas Paypal, SpaceX dan Tesla

Mungkin ramai yang tahu Elon Musk merupakan pengasas SpaceX dan Tesla. Tetapi, tahukah anda, Elon juga orang yang penting di sebalik Paypal?

Pada tahun 2002, eBay telah membeli Paypal sebanyak $1.5B. Pada tahun yang sama, Elon Musk menubuhkan Space Exploration Technologies, atau SpaceX menggunakan keuntungan yang beliau peroleh daripada penjualan Paypal.

SpaceX bukanlah syarikat pengeluar roket semata-mata. Salah satu cita-cita Elon semasa mengasaskan SpacaX adalah untuk memastikan pengembaraan angkasa merupakan sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua dan bukannya terhad kepada angkasawan sahaja.

Elon Musk juga mempunyai rancangan untuk membentuk semula masa depan servis internet melalui projek Starlink. Melalui projek ini, Elon berhasrat untuk membekalkan internet dengan harga yang murah kepada penduduk dunia walau dimanapun mereka berada.

Pada tahun 2004 pula, beliau menjadi sebahagian daripada Tesla Motors (kini dikenali sebagai Tesla), sebuah syarikat kereta elektrik yang ditubuhkan oleh dua orang entrepreneur iaitu Martin Eberhard dan Marc Tarpenning.

Dua tahun kemudian, Tesla memperkenalkan kereta pertamanya Roadster yang boleh dipandu hingga 394 kilometer dengan sekali cas. Pada waktu itu, Elon tertarik dengan Tesla kerana rekaannya yang bergaya dan menarik, bukan seperti pengeluar kereta elektrik lain pada masa itu.

Rahsia sebenar kejayaan Elon Musk

Elon Musk sememangnya seorang yang amat rajin bekerja. Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu-satunya rahsia kejayaan beliau. Pada tahun 2014, di dalam sebuah temu ramah oleh BBC, beliau telah ditanya mengenai kekayaannya.

Namun, Elon menjawab, dia sendiri tidak pasti berapa sebenarnya jumlah kekayaan beliau. Perkara yang beliau fikirkan ialah menginginkan masa depan yang lebih baik untuk masyarakat sejagat.

Oleh sebab itu, beliau tidak kisah untuk menggunakan sebahagian besar wangnya untuk ekspolarasi angkasa. Malah, beliau juga bercita-cita untuk menjadi yang pertama meletakkan manusia di planet Marikh.

Jelas bahawa wang bukan motif utama Elon Musk. Beliau nampaknya hanya mempunyai keinginan untuk membuat sesuatu yang mustahil itu menjadi satu kemungkinan. Atau paling tidak, menjadikannya munasabah.

Keutamaan falsafah hidup atau pilihan Elon Musk ini adalah sesuatu yang harus dihormati untuk kita fahami dan manfaatkan dengan baik dalam menjalani kehidupan sebagai umat pilihan Allah Taala.