Apa sarapan pagi di negara-negara Islam lain?

Makanan Ahmad Mahmud 07-Mei-2020
Sarapan pagi di Maghribi (Morocco) © Zhana Zagorova | Dreamstime.com

Sarapan pagi? Bukan dalam bulan Ramadan ini. Bersahur dan bersarapan pagi tidak semestinya boleh disama ertikan. Namun, kepentingan melambatkan sahur dan bersarapan di awal pagi ada hikmahnya. Ramai yang berpendapat sarapan pagi adalah makanan terpenting bagi sesuatu hari. Dalam tradisi Islam, seeloknya kita bersarapan makanan yang berkhasiat dan secara sederhana.

Islam yang tersebar di merata dunia penuh dengan bermacam budaya, adat dan sudut pandangan. Oleh itu, dalam bersarapan pagi, ia juga berlainan mengikut tradisi dan konsep pelbagai masyarakat Islam di seluruh dunia. Sudah pasti banyak perkara menarik dapat dipelajari dengan melihat kepada jenis-jenis sarapan di serata dunia Islam.

Di Nigeria misalnya, pilihan ruji di kalangan penduduk tempatan ialah juadah yang disebut Kosai. Ini pada dasarnya adalah kacang goreng dari jenis kacang hitam, biasanya disalut dengan rempah atau perasa bawang dan lada. Bermacam jenis lempeng juga biasa dihidangkan di waktu pagi, dan lempeng pisang sudah pastinya menjadi kegemaran ramai di Nigeria.

Bagi kawasan Afrika utara di Maghribi, penduduk setempatnya lebih suka memulakan hari mereka dengan makanan berasaskan roti seperti Baghrir (sejenis lempeng), Khobs atau Msemen (roti rata) dan dimakan bersama mentega, madu atau jem.

Jika di Asia selatan, saudara-saudara kita dari Pakistan menikmati sarapan pagi mereka dengan suatu campuran buah-buahan bermusim, teh (lassi) dan tentu saja, roti Halwa Puri. Hidangan yang berasal dari benua India ini adalah berupa roti goreng yang lembut, dibuat menggunakan adunan tepung, air, garam, dan minyak. Ia paling sedap dimakan dengan halwa, manisan yang berasal dari timur tengah.

Di sebelah Asia Tenggara, saudara-saudara kita di Indonesia biasanya lebih sukakan sarapan yang lebih berat. Contohnya, Nasi Uduk (Aduk) iaitu nasi putih yang dimasak dengan santan, bercampur buah pala, halia, kayu manis, serai dan daun salam, dan dimakan bersama telur goreng, tauhu goreng dan timun yang dihiris. Ia saling tak tumpah dengan Nasi Lemak di Malaysia yang juga sarapan kegemaran kebanyakan rakyat pelbagai ras.

Bagi Arab Saudi di timur tengah, yang warganya terbiasa makan sarapan sambil duduk, mereka suka mulakan sarapan dengan secawan kopi dari kacang Arab atau teh, disertai dengan buah kurma manis. Sajian seterusnya adalah bermacam-macam jenis keju lembut, halwa, dahl, dan jem untuk disapu pada berbagi jenis roti panas atau roti nan. Sejenis telur goreng yang disebut Shakshuka juga merupakan makanan biasa mereka.

Begitulah indahnya umat Muslim yang global. Orang Islam di seluruh dunia menikmati berbagai-bagai makanan lazat bagi memulakan hari. Terpenting, sarapan pagi seeloknya di makan secara bersama keluarga, kerana keluarga adalah salah satu hadiah terbesar Allah SWT. Jika berminat, cuba juga masak pelbagai makanan antarabangsa saudara seagama kita dan kongsikan bersama ibu bapa dan adik-beradik kita. Semoga ini akan mendekatkan kita dengan budaya muslim lain, keluarga kita dan yang paling penting dekat kepada-Nya.