Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Apa sebenarnya khasiat daun Pegaga?

Makanan Sihat 20 Feb 2021
Pilihan oleh Hanita Hassan
Apa sebenarnya khasiat daun Pegaga?
Apa sebenarnya khasiat daun Pegaga? © Wasana Jaigunta | Dreamstime.com

Apabila bercerita tentang ulam-ulaman (rumbah), tergambar di minda beberapa jenis daun hijau yang biasa dimakan oleh ibu kita dahulu.  Biasanya daun-daun ini dimakan bersama sambal belacan, cencaluk atau budu untuk meningkatkan rasa.

Antara yang senang diperolehi di pasaran seperti Ulam Pegaga, Ulam Raja, Tenggek Burung, Kacang Botol, Timun, Petai, Jering dan Peria Katak.  Anda boleh mendapatkan ulam ini di pasar basah berhampiran di bahagian sayur-sayur kampung.

Rumbah tempatan – Pegaga

Bagi peminat rumbah atau ulam-ulaman, anda pasti rambang mata untuk memilih apabila ke pasar.  Sekiranya anda adalah ibu yang berkerjaya dan mahu membeli dalam kuantiti yang banyak, cari ulam yang masih mempunyai akar. Ia boleh disimpan seminggu di dalam peti sejuk beku.  Walau bagaimanapun, anda perlu menyimpan dalam bekas kedap udara supaya ulam anda terus segar.

Seiring usia meningkat, corak pemakanan turut berubah.  Waktu muda, kita makan apa sahaja kecuali sayur.  Walau cantik sekalipun rupa hidangan sayur atau ulam di meja hidangan, kita tolak ke tepi. Hidangan lain lebih memikat hati.

Sedangkan sayur dan ulam baik untuk mencegah pelbagai penyakit, meningkatkan daya tahan badan, mengandungi vitamin A, B6, C dan asid folat-folasin, mineral dan serat. Hari ini akibat daripada pemakanan yang tidak sihat yang diambil sejak muda, ia memberi kesan jangka panjang kepada badan setelah usia meningkat.

Banyak makanan yang dahulu kita makan tanpa berkira, terutama makanan bergoreng, kini terpaksa ambil yang mana patut sahaja.  Buah-buahan dan sayur-sayuran yang dahulunya kita tidak suka, terpaksa juga diambil dalam setiap hidangan.

Daun Pegaga adalah salah satu sayur atau ulam yang boleh anda letakkan dalam senarai hidangan.  Pegaga popular dan boleh dimakan begitu sahaja.  Ia juga boleh direbus bersama akar dan dikisar menjadi minuman.

Tidak kurang juga yang menggorengnya bersama tepung bercili untuk meningkatkan rasa.  Khasiatnya pelbagai khusus untuk membantu memulihkan kesihatan dalaman dan memberi impak kepada kecantikan wanita.

Apa sebenarnya khasiat daun Pegaga?

Daun Pegaga atau nama botaninya Centella Asiatica (Asiatic Pennywort) adalah herba berdaun hijau berbentuk kipas.  Ia juga banyak ditanam di negara seperti Jepun, India, China dan Indonesia.  Kini masyarakat Barat juga sudah beralih melihat khasiat daun ini.

Daun Pegaga sering digunakan sebagai bahan dalam produk tradisional untuk menghilangkan parut dan masalah selulit wanita.  Kerosakan kulit yang terjadi secara tradisi juga boleh dirawat selain membantu meningkatkan peredaran darah kepada mereka yang rajin makan atau minum air rebusannya.

Apabila disapukan pada kulit, sifat antibakteria, antikuman dan antiradang yang ada pada Pegaga akan mempercepat pemulihan luka.  Ia boleh merawat tisu yang rosak dan mengurangkan parut.

Bahan aktif pada Pegaga turut merangsang peredaran darah, mempercepat proses pemulihan di bahagian luka atau terbakar selain menggalakkan pembentukan kolagen, sekali gus mengurangkan masalah parut atau regangan kulit.

Pegaga mengandungi pelbagai nutrien seperti asid asiatik, kalsium, potasium, fosforus, beta karotin, vitamin C, tiamin, niasin dan riboflavin.  Bagi wanita yang mahukan kulit wajah yang tegang, pegaga boleh dijadikan alternatif rawatan wajah. Ia mampu menegangkan kulit apabila disapu dan dibiarkan beberapa minit.

Sebarkan ilmu ini supaya lebih ramai mendapat manfaat.  Semoga amalan memakan daun Pegaga boleh meningkatkan kesihatan diri untuk kita terus sihat melakukan ibadah kepada Allah SWT.