Apa yang menarik di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok?

Alam Sekitar Md Wa'iz
Pilihan
Apa yang menarik di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok?
Apa yang menarik di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok? © Michael Müller | Dreamstime.com

Pernahkah anda berkunjung ke Negeri Sabah? Apakah lokasi menarik kegemaran anda di Sabah selain Gunung Kinabalu dan juga Kundasang? Apa kata jika anda berkunjung pula ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.

Apa yang menarik mengenai lokasi ini?

Sejarah penubuhan Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok

Pada tahun 1964, sebuah pusat pemuliharaan khusus bagi orang utan telah dibina di Sepilok, Sabah. Tujuan penubuhan pusat pemuliharaan ini adalah untuk menyelamatkan anak orang utan yang kematian ibu akibat daripada pembalakan, pemburuan haram dan projek pertanian.

Di kawasan ini, anak-anak orang utan yang diselamatkan akan diajar bagaimana untuk meneruskan kehidupan mereka di dalam hutan. Ini kerana, setelah orang utan ini dewasa dan bersedia, mereka akan dilepaskan kembali ke dalam hutan sebenar.

Dianggarkan sekitar 60 hingga 80 ekor orang utan dijaga di pusat ini. Pusat ini kini memiliki sekitar 40 orang kakitangan dengan jawatan dan peranan yang tersendiri. Kini, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok berada di bawah pentadbiran Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah.

Mendidik orang awam mengenai pemuliharaan haiwan liar

Di kawasan ini, para pengunjung berpeluang untuk melihat aktiviti harian orang utan. Pengunjung yang datang juga boleh memberi makan kepada orang utan ini.

Pada tahun 2014, satu bahagian baharu dibuka kepada pengunjung di pusat ini. Di bahagian ini, pengunjung berpeluang untuk melihat anak orang utan yang lebih muda keluar ke kawasan hutan buat pertama kalinya.

Pengunjung boleh melihat bagaimana anak orang utan ini bermain di kawasan permainan mereka. Sebenarnya, antara tujuan pusat rehabilitasi ini dibuka kepada orang awam adalah kerana untuk mendidik orang awam mengenai kepentingan memulihara haiwan liar yang terancam.

Dengan kewujudan pusat seperti ini, orang awam lebih sedar mengenai kepentingan menyelamatkan haiwan liar yang terancam kerana kepupusan akibat tindakan manusia terhadap alam sekitar.

Dimana letaknya Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok ini?

Pusat pemuliharaan ini didirikan dalam kawasan Hutan Simpan Kabili-Sepilok. Jika anda dari Kota Kinabalu, perjalanan akan mengambil masa sekitar 6 jam dan jaraknya dari Kota Kinabalu ialah sekitar 300 kilometer.

Jika anda dari Sandakan pula, ia akan mengambil masa sekitar 35 minit perjalanan kerana jaraknya dengan bandar Sandakan hanyalah 25 kilometer.

Tiket masuk ke pusat ini juga sangat murah iaitu RM5 bagi orang dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Datanglah ke sini jika berkesempatan

Sehingga hari ini, Pusat Pemeliharaan Orang Utan Sepilok ini telah menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri Sabah. Jika anda berkesempatan ke negeri Sabah kelak, ambillah peluang dan sedikit masa untuk berkunjung ke pusat ini.

Bukan senang untuk kita melihat orang utan yang sebenar di hadapan mata kita sendiri. Bawa anak-anak anda agar mereka berminat untuk mengetahui kehidupan haiwan liar yang ada di Malaysia.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.