Apa Yang Perlu Anda Buat Jika Kehilangan Pekerjaan?

Sad fired businessman sitting outside meeting room after being dismissed

Dengan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini, memang banyak pihak yang terkesan dengan situasi ini. Antara impaknya adalah banyak syarikat perniagaan yang terpaksa gulung tikar atau memberhentikan sebahagian pekerjanya kerana tidak mampu lagi menanggung beban hutang yang semakin bertambah.

Pernahkah terlintas di fikiran jika anda kehilangan pekerjaan yang merupakan satu-satunya mata pencarian untuk anda dan keluarga? Bagaimanakah anda mahu menghadapinya? Semak info beriktu untuk membantu anda mengharungi situasi tidak menyenangkan ini.

Ingat, jangan terlalu berfikiran negatif kerana bimbang ia boleh mengundang risiko kesihatan yang membahayakan seperti kemurungan.

1) Bersabar

Banyakkan bersabar kerana setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Apabila Allah menguji manusia dengan sesuatu ujian, itu tandanya Allah sayang. Allah mahu anda sentiasa dekat kepadaNya dengan memohon bantuan.

2) Muhasabah diri dan berdoa

Selain bersabar, anda juga boleh ambil peluang muhasabah diri. Adakah selama ini anda jujur dalam melakukan tugasan? Adakah anda pernah menganiaya individu lain demi kenaikan pangkat atau sebaliknya?

Kadangkala apa yang berlaku adalah kifarah. Ingat! Buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Allah juga telah berjanji, setiap perbuatan buruk atau dosa yang kita lakukan, pasti ada balasan. Jadi cubalah memperbetulkan diri dan banyakkan berdoa kepada Allah untuk mempermudahkan urusan.

3) Berfikiran positif

Pastikan anda sentiasa kekal positif. Tanamkan dalam diri bahawa jika anda hilang pekerjaan, anda pasti akan mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada yang sebelum ini.

Rezeki Allah itu luas dan anda harus percaya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Berusahalah dengan jalan sabar, tekun, bertanggungjawab dan bertawakkal kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 37).

Jika usaha untuk makan gaji tidak berhasil, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk memulakan bisnes secara kecil-kecillan.

4) Dapatkan sokongan

Akhir sekali, setiap individu pasti memerlukan individu yang lain untuk menyokongnya. Selain sokongan daripada segi kewangan, yang paling penting sebenarnya adalah sokongan mental.

Oleh itu, keluarga sangat memainkan peranan apabila ada ahli keluarga berhadapan masalah kehilangan pekerjaan. Bagi kata-kata semangat dan katakan kepada mereka yang anda akan sama-sama meringankan beban.

Sekiranya perkara ini berlaku kepada diri sendiri, jangan sesekali malu atau segan untuk meminta bantuan dan sokongan.

Kredit foto :   123rf