Apa yang perlu dilakukan jika diberhentikan kerja?

Masyarakat Chan Abdullah
Chan Abdullah
Apa yang perlu dilakukan jika diberhentikan kerja
Apa yang perlu dilakukan jika diberhentikan kerja © Fizkes | Dreamstime.com

Peningkatan kes positif COVID-19 ini sudah semestinya satu perkembangan yang amat membimbangkan. Menurut laporan portal berita Sinar Harian, sebanyak 33,906 orang telah hilang pekerjaan di Malaysia sejak awal tahun lepas.

Apa yang perlu dilakukan jika diberhentikan kerja?

Melihat kepada situasi ini, sudah pastinya ramai penduduk Malaysia yang akan mengalami tekanan dan cabaran ekonomi yang begitu mencabar sekali. Pastinya rakyat Malaysia tak mampu berhadapan dengan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sekali lagi.

Berhadapan tekanan ekonomi yang begitu mencabar dan mendesak ini, pastinya banyak syarikat dan organisasi yang terpaksa mengambil tindakan drastik untuk kelangsungan syarikat. Sudah pastinya jika tekanan ekonomi ini berterusan, ramai pekerja yang akan kehilangan pekerjaan.

Bagi yang kehilangan pekerjaan, pastinya runsing memikirkan kelangsungan hidup diri dan juga keluarga. Jika tidak tahu, Kerajaan Malaysia melalui agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ada menyediakan bantuan kewangan.

Pada peringkat permulaan, pekerja yang kehilangan pekerjaan perlu memfailkan tuntutan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) di PERKESO untuk memohon bantuan kewangan. Bantuan kewangan ini akan diberikan selama enam bulan.

Bermula 1 Disember 2018, pekerja yang hilang pekerjaan dan sudah mencarum minimum 11 bulan caruman layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Benar, elaun yang diberikan tidaklah sebanyak gaji atau pendapatan yang anda terima dari syarikat anda bekerja dahulu, namun sementara menunggu dapat kerja baharu, adalah sedikit sumber kewangan untuk kelangsungan diri anda dan keluarga.

Meringankan beban buat mereka yang hilang pekerjaan

Walau bagaimanapun, tidak semua kategori kehilangan kerja boleh menuntut bantuan kewangan SIP ini. Terdapat beberapa kategori yang dibolehkan dan juga tidak dibolehkan.

Kategori yang tidak dibenarkan membuat tuntutan adalah seperti berikut:

  • Dibuang kerja kerana salah laku
  • Letak jawatan secara sukarela
  • Bersara
  • Tempoh kontrak perkhidmatan tamat tempoh/tidak disambung

Anda boleh dapatkan maklumat lebih lanjut di laman web PERKESO sendiri.

Selain itu, melalui SIP, pemohon juga layak mendapatkan elaun yuran latihan untuk mengikuti latihan kemahiran dengan pengesyoran Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Alhamdulillah, skim yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui PERKESO ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban buat mereka yang hilang pekerjaan sehinggalah mereka dapat pekerjaan baharu.