Apakah amalan Rasulullah SAW di bulan Syaaban?

Acara Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Apakah amalan Rasulullah SAW di bulan Syaaban?
Apakah amalan Rasulullah SAW di bulan Syaaban? © Guruxox | Dreamstime.com

Apakah amalan Rasulullah SAW di bulan Syaaban? Artikel ini akan membicarakan tentang keistimewaan dan amalan yang boleh dilakukan dalam bulan Syaaban yang bakal menjelang beberapa hari saja lagi.

Kata Abu Bakar al-Warraq:

“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadan pula adalah bulan untuk memungut hasil.”

Apakah amalan Rasulullah SAW di bulan Syaaban?

Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat di bulan Syaaban

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.”

(Umamah Al-Bahili r.a)

Perbuatan Rasulullah SAW pasti membawa manfaat bagi dunia dan akhirat.

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam, ayat 4)

Terdapat persoalan mengapa Rasulullah SAW banyak berpuasa dalam bulan Syaaban.

Berpuasa merupakan keperluan fitrah

Ia merupakan keperluan fitrah di mana dengan berpuasa, ini boleh merehatkan organ pencernaan selain untuk menyihatkan badan.

Usamah ibnu Zaid r.a bertanya kepada Rasulullah SAW:

“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa dalam Syaaban.”

Baginda menjawab:

“Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa kebanyakan manusia yang diapit Rejab dan Ramadan. Dia juga bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”

(Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Berpuasa merupakan persiapan strategik menyambut Ramadan

Antara kelebihan berpuasa sunat di bulan Syaaban juga adalah untuk mempersiapkan diri menghadapi ‘perlumbaan’ dalam bulan Ramadan.

Maka latihan diperlukan agar dapat beribadah dengan maksimum.

Berpuasa dapat menahan hawa nafsu

Syaitan sentiasa menggoda manusia melalui makanan. Menahan nafsu juga merupakan jalan menuju ke syurga.

Firman Allah SWT dalam al-Quran, surah An-Nazi’at, ayat 40-41 yang bermaksud:

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggal(nya).”

Apakah amalan lain yang boleh dilakukan dalam bulan Syaaban?

Beristighfar dan berzikir

Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyakkan istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.”

(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Al-Quran, surah al-Ahzaab, 33 ayat 41)

Berselawat

Seandainya manusia mengetahui betapa istimewanya berselawat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, maka mereka tidak akan berkata-kata yang lain kecuali hanya berselawat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW di setiap hembusan nafasnya.

Berdoa dan berqiamullail menghidupkan malam Nisfu Syaaban

Kita disunatkan menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan solat Tahajjud dan solat sunat Taubat. Di samping itu, memperbanyakkan berdoa supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT.

Juga, berzikir dan bertaubat kepada Allah SWT. Malam Nisfu Syaaban adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Berbuat baik dan bersedekah

Seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama ‘Ulbah Zaid Harithah r.a, tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin ketika Baginda menggalakkan sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan:

“Aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku,” yang bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah kamu diterima.”

(Kitab al-Isobah)

Berbuat baik dengan mengusahakan penyatuan umat Islam. Ia merupakan suruhan Allah Taala dalam al-Quran yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

(Surah an-Nisa, ayat 114)

Memperkukuhkan tali silaturrahim

Daripada Mu’az Jabal r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Allah menjenguk hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang masih bersengketa dan bertelagah.”

(Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Tabarani)

Beristiqamah

Beristiqamah dalam membuat amal ibadah membawa maksud sentiasa melakukannya setiap hari. Kita perlu beristiqamah dalam melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Jiwa dan pendirian kita akan sentiasa teguh dengan amal ibadah yang dilakukan secara berterusan.

Semoga kita semua tergolong dari golongan hamba yang suka berbuat beribadah dan memperbaiki diri kearah kebaikan di bulan Syaaban ini.

“Duhai Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan bulan Syaaban dan pertemukanlah kami dengan bulan Ramadan.”