Apakah ayat al-Quran terakhir yang turun kepada Rasulullah SAW?

Al-Quran Aimy Azhary
Aimy Azhary
Apakah ayat al-Quran terakhir yang turun kepada Rasulullah SAW?
Apakah ayat al-Quran terakhir yang turun kepada Rasulullah SAW? © Mohd Shahjehan Maamin | Dreamstime.com

Sejarah penurunan setiap ayat di dalam al-Quran merupakan suatu perbahasan yang amat dititiberatkan oleh para ulama. Mereka sependapat dalam menentukan ayat pertama yang turun kepada Rasulullah SAW.

Namun, terdapat perbezaan pendapat yang cukup besar dalam membahaskan ayat al-Quran terakhir yang turun kepada Baginda Rasulullah SAW. Ini disebabkan kerana ketiadaan hadis yang jelas menceritakan tentangnya.

Pendapat para ulama tentang ayat al-Quran terakhir

Pendapat pertama

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 281:

“Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”

Imam An-Nasai telah mengeluarkan pendapat ini daripada jalan ‘Ikrimah dan Ibnu Abi Hatim melalui Ibnu Abbas r.a. Baginda dikatakan wafat setelah sembilan hari ayat ini diturunkan.

Pendapat kedua

Ayat berkaitan riba daripada surah Al-Baqarah, Ayat 278. Imam Bukhari meriwayatkannya daripada Ibnu Abbas r.a, manakala Imam Baihaqi meriwayatkannya daripada Ibnu Umar r.a.

Pendapat ketiga

Ayat berkaitan hutang dalam surah al-Baqarah iaitu ayat 282, dan ia merupakan ayat terpanjang di dalam al-Quran.

Ibnu Jarir mengeluarkan pendapat ini daripada Sa’id ibn al-Musayyab, dan berkata:

“Sesungguhnya telah sampai kepadanya bahawa ayat al-Quran terakhir yang berada di Arasy adalah ayat ad-Dain (hutang).”

Pendapat keempat

Surah An-Nasr merupakan ayat dan surah  terakhir yang turun kepada Rasulullah SAW. Pendapat ini diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kelima

Ayat terakhir daripada surah an-Nisa’, atau lebih dikenali sebagai ayat al-Kalalah. Pendapat ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada al-Barra’ bin ‘Azib r.a.

Pendapat keenam

Ayat kedua terakhir daripada surah at-Taubah. Pandangan ini pula diriwayatkan oleh Ibnu Marduyah dan al-Hakim dalam Mustadraknya daripada Ubai bin Ka’ab r.a.

Pendapat ketujuh

Ayat ketiga daripada surah al-Maidah, firman Allah Taala:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Ayat ini dikatakan turun kepada Baginda Rasulullah SAW ketika Hajjatul Wida’ (Haji Perpisahan).

Pendapat yang kuat

Al-Imam Az-Zurqani telah membuat kajian yang cukup teliti melalui kitabnya Manahil Al-‘Irfan, dan berkata :

“Sesungguhnya jiwa lebih tenang apabila mengatakan bahawasanya ayat terakhir yang turun kepada Rasulullah SAW ialah surah al-Baqarah, ayat 281. Ini disebabkan ayat ini diberitakan turun sembilan hari sebelum kewafatan Baginda.”

Hikmah mengetahui turutan penurunan ayat al-Quran

Dengan ilmu berkaitan sejarah penurunan al-Quran, kita dapat mengetahui selok belok sirah Rasulullah SAW secara langsung. Setiap surah dibezakan antara ayat Makiyyah dan Madaniyyah untuk direkodkan setiap detik-detik yang dilalui baginda sebelum dan selepas hijrah.

Selain itu, kita juga dapat melihat kaitan antara ayat-ayat yang diturunkan terutama berkaitan hikmah dalam mendidik manusia secara beransur-ansur.

Contoh yang paling jelas adalah ayat berkaitan arak, di mana Allah SWT mendedahkan keburukannya kemudian melarangnya pada waktu solat sahaja dan barulah diharamkan secara keseluruhan.

Secara kesimpulannya, al-Quran terbukti mempunyai catatan sejarah yang jelas daripada sudut garis masa, dan fakta berkaitannya sampai kepada kita pada hari ini.

Hal ini sangat penting kerana ia membuktikan bahawasanya ayat al-Quran tidak mungkin telah berubah isinya sekaligus membenarkan janji Allah SWT untuk menjaganya daripada diseleweng.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.