Apakah batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam?

Wanita Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Apakah batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam?
Apakah batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam? © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Apakah batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam? Adakah terdapat sebarang perbezaan meskipun mereka sesama jantina? Aurat bermaksud mana-mana anggota badan yang diharamkan untuk didedah sama ada bagi kaum lelaki dan juga perempuan.

Ia juga bermaksud mana-mana anggota badan yang wajib ditutup di sisi syarak.

Batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam

Menurut pendapat majoriti ulama fikah, batas aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam adalah sama dengan hukum batas aurat dengan lelaki ajnabi. Ini bermakna, keseluruhan bahagian tubuh adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan.

Walau bagaimanapun, ada pendapat kedua daripada sebahagian ulama fikah Mazhab Syafie. Ia menyatakan, aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam adalah seluruh tubuh kecuali kepala, tangan dan juga kaki.

Penerangan pendapat sebahagian ulama Mazhab Syafie

Menurut petikan daripada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Zakariyya Al-Ansari pernah menyebut dalam kitabnya, Asna Al-Matalib dengan berkata:

“Dan bermula wanita Muslimah itu berhijab di hadapan wanita kafir sebagai satu kewajipan. Justeru haram membiarkan wanita kafir merenung ke arahnya berdasarkan firman Allah Taala dalam Surah An-Nisa’, ayat 31. Maksudnya, “atau perempuan-perempuan Islam,” dan wanita kafir itu bukan daripada kalangan wanita beriman.

 

Ini kerana kemungkinan wanita kafir itu akan menceritakan rupa paras wanita Muslimah kepada lelaki yang kafir. Justeru, tidak boleh dibenarkan wanita kafir masuk ke dalam hammam (bilik mandi awam) sedangkan ada bersama wanita Muslimah di dalamnya. Benar, diharuskan bagi wanita Muslimah untuk mendedahkan bahagian tubuh yang terdedah ketika bekerja.”

Menurut Imam Syihabuddin Al-Ramli, istilah “mendedahkan bahagian tubuh yang terdedah ketika bekerja” membawa maksud wajah, kepala, tapak tangan hingga siku dan tapak kaki hingga ke lutut.

Menurut Imam Ibn Hajar Al-Haitami dan Syeikh Hasan Al-Kaf, ia membawa maksud kepala, tengkuk, tapak tangan hingga ke pangkal lengan serta tapak kaki hingga ke lutut. Ayat ‘ketika bekerja’ pula membawa makna sebarang keperluan tugas seperti melakukan kerja-kerja rumah dan yang berkaitan dengannya.

Kesimpulan mengenai aurat wanita Islam

Secara kesimpulannya, majoriti ulama fikah menyatakan bahawa aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Islam adalah seluruh bahagian tubuh kecuali wajah dan dua tapak tangan.

Bagi sebahagian ulama Mazhab Syafie pula, mereka berpendapat bahawa aurat wanita Islam bersama wanita bukan Islam adalah keseluruhan tubuhnya kecuali kepala, tangan dan juga kaki.

Bagi wanita Islam yang tinggal bersama wanita bukan Islam, sebolehnya cuba untuk memelihara aurat anda walaupun sesama jantina. Jika kerana keperluan atau atas sebab yang terdesak, maka bolehlah mengikut pendapat kedua iaitu hanya mendedahkan kepala, tangan atau kaki sahaja.

Paling penting, ia tidak akan menimbulkan fitnah kepada diri anda sebagai seorang wanita Islam.