Apakah hadiah hari jadi terbaik seseorang?

Keluarga Tari Basir
Pilihan oleh Tari Basir
Apakah hadiah hari jadi terbaik seseorang?
Apakah hadiah hari jadi terbaik seseorang? © Lim Seng Kui Dreamstime.com

Sambutan hari jadi atau ulang tahun kelahiran, merupakan antara hari yang paling indah di dunia. Selain daripada ia merupakan tanda kita masih lagi bernafas di bumi Allah SWT ini, hari jadi merupakan hari yang ditunggu-tunggu kerana kita akan menerima hadiah sebagai ganjaran.

Sudah tentu, hadiah tersebut diberikan oleh orang lain kepada kita. Seperti kawan atau sahabat handai, isteri, anak-anak, keluarga, rakan sekerja dan sebagainya. Malahan, lebih manis lagi jika hadiah tersebut diberikan oleh orang yang paling kita sayangi. Atau hadiah tersebut merupakan sesuatu yang paling kita mahukan sekian lama.

Namun, bagi segelintir orang, hari jadi merupakan hari yang sama sahaja seperti hari-hari yang mendatang. Bahkan bagi mereka yang mempunyai bulatan sosial yang kecil, tidak memiliki ramai kawan atau mungkin tidak ada langsung, tidak ada yang istimewa dalam coretan hari jadinya di kalendar hidupnya.

Tetapi, bulatan sosial yang kecil atau besar, ramai kawan atau tidak, adakah ia sesuatu perkara yang perlu dalam sambutan hari jadi? Khususnya dalam menghargai diri sendiri?

Sayangi diri sebelum menyayangi

Apabila kita sudah berkeluarga, menyayangi diri sendiri merupakan sesuatu perkara utama yang semakin kita lupakan. Hal ini kerana, kita berjuang mencari rezeki agar isteri dan anak-anak boleh hidup senang, membanggakan ibu bapa dan lain-lain lagi.

Namun, segalanya kita lakukan tidak lagi disebabkan diri sendiri. Diri sendiri bukan lagi faktor yang menyemangatkan diri kita. Oleh itu, perkara inilah yang menyebabkan kita sanggup bersusah payah membanting tulang, berpenat dan sebagainya. Kerana kita mahu orang yang kita sayangi gembira, dan kegembiraan mereka ialah kegembiraan kita.

Namun jauh di sudut hati, adakah kita betul-betul menyayangi diri kita sendiri? Apabila diri kita keletihan dek kerja atau belajar, kita berhenti rehat seketika menunaikan hak badan yang keletihan?

Apabila diri kita kesedihan, adakah kita menangis seketika dan bercakap dengan diri kita. Berbanding berpura-pura senyum, memendam kesedihan tersebut di lubuk hati paling dalam, dan berpura-pura bagai tiada apa-apa?

Apabila kita tidak menyayangi diri sendiri, dan hanya bergantung harap kepada kasih sayang orang lain terhadap kita. Maka apabila kita ditinggalkan, kita berasa bagai sudah hilang tempat untuk berpijak. Padahal, kita masih punya diri sendiri.

Manjakan diri sendiri dengan hadiah sendiri

Kebiasaannya, hadiah hari jadi merupakan hadiah yang diberi orang lain kepada kita. Maka, mengapa tidak kali ini, kita pula yang memberi hadiah kepada diri sendiri.

Baju yang kita pakai setahun dua sudah pun lusuh? Belilah sehelai dua yang baharu, dengan warna kegemaran kita. Sekian lama perut tidak diisi dengan makanan kegemaran kita? Hidupkan enjin kereta, dan pergilah ke restoran kegemaran kita.

Hakikatnya, majoriti besar hadiah yang kita terima bukanlah sebenarnya sesuatu yang kita mahu atau sesuai dengan cita rasa kita. Hanya kita sahaja yang tahu apa yang benar-benar kita suka. Maka apa salahnya, dalam bertahun-tahun kita menyayangi orang lain, kita manjakan pula diri kita.

Mulai hari ini, lihatlah hari jadi kita sebagai suatu hari yang paling indah dalam setahun. Bukan kerana orang-orang yang kita sayang akan menghargai kita dengan ingatan, hadiah dan sebagainya.

Namun, kerana ia merupakan anugerah Allah SWT yang paling indah kepada kita. Maka, tidak salahkan kalau kita menghadiahi diri kita sendiri. Sebagai tanda kita mensyukuri anugerah-Nya?