Apakah hukum memberi zakat kepada anak sendiri? Ini penjelasannya

Islam untuk Pemula Md Wa'iz
Md Wa'iz
Apakah hukum memberi zakat kepada anak sendiri? Ini penjelasannya
Apakah hukum memberi zakat kepada anak sendiri? Ini penjelasannya © Ruslee Yaena | Dreamstime.com

Dalam hukum-hakam berkaitan zakat, ada beberapa persoalan yang mungkin belum diketahui oleh kita semua. Salah satunya ialah hukum bagi seorang ibu memberikan zakat kepada anak sendiri.

Apakah hukum bagi permasalahan seperti ini?

Lapan golongan penerima zakat yang perlu diketahui

Dalam soal pemberian zakat, perkara pertama yang perlu kita fahami dengan baik ialah mengenai golongan penerima itu sendiri. Senarai penerima zakat ini telah dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran sepertimana maksud daripada ayat tersebut:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah At-Taubah, ayat 60)

Hukum memberikan zakat kepada ahli keluarga sendiri

Para ulama menyatakan bahawa pemberian zakat kepada ahli keluarga yang wajib ditanggung nafkahnya tidak dibenarkan sama sekali. Sebagai contoh, seorang suami tidak boleh memberikan zakat kepada isterinya. Walaupun isterinya seorang yang fakir atau miskin kerana menjadi kewajipan bagi si suami untuk memberikan nafkah kepadanya.

Dalam kitab Fiqh Al-Manhaji karangan Imam Al-Syafie, beliau menyatakan bahawa golongan penerima zakat mestilah mereka yang bukan daripada tanggungan nafkah pemberi zakat.

Ini kerana, seseorang yang menjadi tanggungan kepada pembayar zakat dianggap sebagai golongan yang kaya. Malah, memberi zakat kepada tanggungan sendiri dianggap sebagai memberi zakat kepada diri sendiri.

Walau bagaimanapun, seseorang ahli keluarga itu boleh memberikan zakat kepada ahli keluarganya jika mereka bukan tergolong dalam golongan fakir, miskin atau mualaf. Sebagai contoh, zakat boleh diberikan kepada ahli keluarga jika mereka tergolong dalam golongan amil, fisabilillah atau mereka yang berhutang.

Bagaimana jika seorang ibu ingin memberikan zakat kepada anak sendiri?

Bagi wanita pula, mereka boleh memberikan zakat kepada anak sendiri. Ini memandangkan golongan wanita tidak mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah seperti seorang lelaki. Sebagai contoh, seorang isteri memberikan zakat kepada suaminya atau seorang ibu memberikan zakat kepada anaknya.

Namun, sekiranya berlakunya kematian suami yang menyebabkan tiada bapa bagi menanggung nafkah anak, maka seorang ibu wajib memberikan nafkah kepada anaknya.

Dalam situasi seperti ini, ibu tersebut tidak dibenarkan untuk memberikan zakat kepada anaknya. Kerana dia sudah dipertanggungjawabkan untuk memberikan nafkah kepada anaknya.

Sunat bagi seorang ibu memberikan zakat kepada anak sendiri

Menurut penjelasan daripada portal Mufti Wilayah Persekutuan, seorang ibu tersebut bukan sahaja dibenarkan malah disunatkan untuk memberikan zakat kepada anaknya yang layak. Ini kerana seseorang ibu tersebut tidak diwajibkan memberi nafkah kepada anaknya melainkan jika ketiadaan suami.

Namun, adalah lebih baik jika seseorang itu membayar zakat terus kepada pihak berwajib seperti Pusat Pungutan Zakat Negeri memandangkan ada bahagian yang boleh dituntut bagi pengagihan sendiri.