Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Apakah hukum pendermaan organ dalam Islam?

Kesihatan 20 Jan 2021
Terkini
Apakah hukum pendermaan organ dalam Islam?
Apakah hukum pendermaan organ dalam Islam? © Jk Sulit | Dreamstime.com

Menderma organ bukanlah satu amalan baharu dalam dunia perubatan. Namun, perkara ini kurang dibincangkan dalam masyarakat Islam disebabkan hukumnya.

Ramai yang tidak begitu jelas mengenai hukum pedermaan organ dalam Islam. Ini penerangannya.

Maksud pendermaan organ

Pendermaan organ bermaksud kaedah mendermakan sebahagian daripada organ atau mana-mana tisu yang bermanfaat melalui proses pemindahan kepada individu lain.

Individu penerima organ biasanya adalah pesakit yang yang mengalami kerosakan atau kehilangan mana-mana organ penting daripada tubuhnya.

Antara tujuan pendermaan organ ini ialah bagi membantu individu lain meneruskan kehidupan mereka dengan keadaan yang lebih baik.

Hukum menderma organ

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23-24 Jun 1970 telah memutuskan bahawa, pendermaan organ ini adalah harus.

Namun, pada ketika itu, ia terhad kepada pemindahan mata dan jantung sahaja dan mestilah mengikuti syarat-syarat berikut:

  1. Dilakukan disebabkan keadaan yang mendesak. Sekiranya tanpa pendermaan organ tersebut, nyawa individu yang bakal menerimanya akan terancam dan pemindahan organ tersebut mestilah dijangkakan berjaya
  2. Bagi pemindahan jantung, kematian penderma tersebut perlu dipastikan dan disahkan terlebih dahulu
  3. Tidak berlaku sebarang kejadian pembunuhan manusia bagi mengambil anggota tubuhnya secara paksa. Tidak berlaku juga aktiviti pemerdagangan anggota tubuh badan manusia
  4. Meminta kebenaran daripada penderma bagi sebarang pemindahan organ selepas kematiannya. Meminta izin daripada warisnya jika individu tersebut meninggal dunia akibat kemalangan

Antara sebab ia dihukumkan harus adalah kerana ia termasuk dalam pengorbanan yang dilakukan oleh manusia kepada manusia yang lain. Selain itu juga, ia diqiyaskan (disamakan) kepada jihad nyawa.

Cadangan semakan terhadap fatwa sedia ada

Pada tahun 2015, Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan pendapat yang menyatakan bahawa, organ-organ yang boleh didermakan ini perlu diperluaskan kepada anggota-anggota lain.

Ini kerana, keputusan muzakarah yang dibuat pada tahun 1970 hanya mengehadkan kepada pendermaan mata dan jantung sahaja.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, antara anggota tubuh lain yang boleh didermakan termasuklah buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas. Selain itu, tulang, kulit dan injap jantung juga boleh didermakan.

Namun, anggota seperti testis dan juga rahim diharamkan daripada diderma kerana ia melibatkan nasab keturunan manusia.

Cadangan Mufti Wilayah Persekutuan ini telah disemak dan kemudiannya dipersetujui oleh ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Begitu juga dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri di Malaysia. Negeri-negeri seperti Negeri Perlis, Selangor, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang juga mengharuskan proses pendermaan organ untuk kemaslahatan manusia lain.

Peratusan penderma masih lagi rendah

Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mereka yang berikrar sebagai penderma organ masih lagi amat sedikit di negara ini. Negara-negara seperti Turki dan juga Iran mempunyai peratusan jumlah penderma organ yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Mufti Wilayah Persekutuan sendiri menggalakkan orang Islam untuk menderma organ kerana ia termasuk dalam konsep tolong menolong untuk kebaikan dan ketakwaan sesama manusia.

Kita tidak perlu risau lagi mengenai pemindahan organ kerana ia dihukumkan harus dan termasuk dalam amalan tolong menolong.