Apakah kelebihan bertahnik?

Ruangan Kanak-kanak Abi Aasim 01-Sep-2020
dreamstime_s_93910303
Kelebihan bertahnik © Zairiazmal | Dreamstime.com

Anak-anak adalah satu anugerah dari Allah SWT yang sangat berharga. Sebagai seorang Muslim, ibu bapa dianjurkan untuk melaksanakan pelbagai sunah Nabi Muhammad SAW sewaktu menyambut kelahiran anak seperti azan dan iqamah ke telinga bayi, memberikan nama yang baik-baik, melakukan akikah dan juga melakukan tahnik.

Kali ini artikel ini ingin mengolah lebih lanjut tentang kelebihan bertahnik. Apakah itu tahnik sebenarnya? Dalam masyarakat Melayu, ianya lebih dikenali dengan upacara ‘belah mulut’. Lelangit bayi disentuh atau disapukan dengan sedikit kunyahan buah kurma.

Amalan bertahnik ini boleh dilakukan sendiri oleh ayah bayi. Namun di dalam masyarakat Melayu khususnya, ibu bapa lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan orang soleh seperti guru agama, imam ataupun alim ulama. Ini kerana untuk mengambil keberkatan daripada para orang soleh ini.

Amalan bertahnik ini adalah suatu sunah Baginda Rasulullah SAW sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam sebuah hadis.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari: “Anak lelakiku baru saja dilahirkan lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim lalu mentahniknya dengan kurma dan memohon keberkatan baginya. Setelah itu Baginda menyerahkan kembali anakku kepadaku.” (Hadis riwayat al-Bukhari, 5467 dan Muslim, 2145)

Antara kelebihan bertahnik ialah:

  • Mencegah bayi dari ancaman hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah)
  • Mengurangkan kesakitan yang dialami oleh bayi

Saat bayi dilahirkan ke dunia, mereka telah berpindah dari alam rahim ke alam dunia. Mereka terdedah kepada pelbagai kesakitan seperti kesejukan, imunisasi dan juga proses kelahiran itu sendiri.

Menurut satu kajian yang bertajuk Analgesic Effect of Sucrose in Full Term Infants: A Randomised Controlled Trial iaitu berkenaan kesan pengurangan kesakitan oleh gula sukrosa kepada bayi, amalan bertahnik sebenarnya berkesan mengurangkan kesakitan yang dialami oleh bayi. Kajian tersebut telah diterbitkan dalam British Medical Journal.

Tujuan tahnik mengikut ulama adalah bagi melatih bayi makan dan menguatkannya. (IbnHajar, Fath Al Bari 15/390)

Kajian-kajian saintifik yang telah dilakukan para saintis juga telah membuktikan kebaikan amalan tahnik kepada bayi. Ini membuktikan Setiap sunah dan ajaran Nabi Muhammad SAW sudah pasti ada kebaikan yang tersendiri.

Mudah-mudahan setiap sunah Rasulullah SAW yang kita lakukan dengan ikhlas mendapat ganjaran kebaikan daripada Allah SWT.