Apakah kelebihan menuntut ilmu  

Agama Chan Abdullah 14-Jul-2020
Ilmu adalah pelita hidup © Digikhmer | Dreamstime.com

Ilmu adalah pelita hidup, tanpa ilmu manusia tidak akan dapat mengendalikan kehidupan mereka dengan sebaik-baiknya. Malah pastinya peradaban dan tamadun manusia akan terus mundur zaman ke zaman. Kedatangan agama Islam yang telah disampaikan Baginda Nabi Muhammad SAW telah membawa tamadun manusia ke arah peradaban yang lebih bertamadun.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 11: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”

Firman Allah SWT  ini membuktikan bahawa Allah akan mengangkat darjat golongan orang-orang yang beriman dan berilmu.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim)

Antara kelebihan menuntut ilmu ialah:

  • Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardu ain mahupun fardu kifayah, Allah SWT akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga
  • Orang yang berada di majlis ilmu untuk menuntut ilmu, akan sentiasa dinaungi sayap malaikat dan didoakan agar dicucuri rahmat
  • Orang yang berada di majlis ilmu untuk tujuan menuntut ilmu, nescaya akan didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada didalam air
  • Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu, bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang)
  • Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripada harta yang diwariskan oleh para Nabi
  • Menuntut ilmu adalah suatu ibadah dan dianggap berjihad ke jalan Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia di dalam sabilillah sehinggalah dia pulang.” (HR at-Tirmidzi)

Tanpa ilmu, pelaksanaan sesuatu ibadat akan menjadi cacat. Rukun solat seperti rukuk yang ditinggalkan menjadikan ibadat itu batal. Orang berilmu di pandang tinggi di sisi masyarakat. Masyarakat sedar seseorang yang berilmu akan memberi manfaat kepada orang lain.

Tuntutlah ilmu yang berguna dan sebarkan ilmu yang dipelajari kepada orang ramai. Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat itu dapat membantu diri kita dan orang lain.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!