Apakah maksud Badal Haji?

Agama Hanita Hassan 31-Jul-2020
Ribuan jemaah haji di Kaabah © Zulkifli Mustafa | Dreamstime.com

Badal Haji bermaksud mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi melaksana ibadah haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua atau meninggal dunia sedangkan ia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadat tersebut ketika masih hidup. Barang siapa yang mampu menyambut panggilan haji kemudian terhalang kerana sakit yang tiada harapan sembuh atau lanjut usia maka dia diharuskan meminta orang lain untuk menghajikannya.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a, dari Fadl bin Abbas bahawa seorang wanita dari Bani Khats’am berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan haji kepada hamba-Nya, bapaku seorang yang lanjut usia dan tidak mampu berada pada kenderaan, maka apakah aku boleh menghajikannya?”  Rasulullah SAW menjawab, “Boleh.”

Tahun 2020 musim haji tidak disertai oleh jemaah dari Malaysia.  Semua ini adalah ketetapan Allah SWT.  Pandemik COVID-19 adalah asbab kepada panggilan haji anda tertunda.  Namun percayalah, ia mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi.  Selagi mana anda bersyukur selagi itulah Allah SWT akan memberikan banyak lagi kebaikan khususnya kepada anda dan seluruh jemaah yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini.

Merenung kembali sejarah ibadah haji, Masjidil Haram pernah 40 kali ditutup bermula tahun 865 masehi hingga 1987 oleh kerana pelbagai sebab. Antaranya seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit selain  proses baik pulih. Wabak taun pernah melanda tanah suci tahun 1814 sehingga mengorbankan lapan ribu jemaah pada tahun berkenaan. Ia dipercayai datang daripada India.

Malah pada tahun 1837 ketika berlaku wabak penyakit yang telah menyebabkan ibadah haji selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1838, 1839 dan 1840 tidak dapat diadakan. Sudah tentu pengalaman buruk yang pernah dialami itu menjadikan pihak pentabir Mekah lebih berhati-hati.  Meskipun musim haji kali ini diteruskan dengan jumlah yang dihadkan, namun keputusan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah adalah demi keselamatan semua.

Bagi waris yang berhasrat melaksanakan badal haji tahun ini, carilah orang atau agensi yang benar-benar mampu melaksananya mengikut hukum syarak.  Panduan buat waris kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia, gunakan harta peninggalan untuk membayar segala hutang piutang si mati. Baki wang atau harta itu boleh digunakan untuk badal haji kepada si mati.  Selepas selesai badal haji, baharulah wang atau harta yang masih ada dibahagi mengikut faraid dalam kalangan waris yang layak.

Di Malaysia, pihak Tabung Haji melaksanakan badal haji setiap tahun dengan had lima ribu pemohon.  Sekiranya berlebihan, ia akan dilaksana pada bulan haji tahun berikutnya.  Tabung Haji turut melantik pihak pembadal untuk melaksanakan ibadah tersebut. Mereka yang dilantik telah menjalani proses saringan dan temu duga yang ketat supaya hanya yang layak sahaja diberikan tauliah dengan upah yang ditetapkan.