Apakah maksud crowdfunding dan manfaatnya

Perniagaan Md Wa'iz 10-Okt-2020
dreamstime_s_147837592
Apakah maksud crowdfunding dan manfaatnya © Andrey Popov | Dreamstime.com

Tiada wang untuk mulakan bisnes? Ini masa untuk gunakan platform crowdfunding (pendanaan ramai) untuk menjana kewangan. Bagi seseorang yang ingin memulakan sesuatu bisnes, antara halangan utamanya ialah faktor wang.

Modal atau kewangan yang besar sering menjadi penghalang idea bisnes untuk direalisasikan. Namun, ia tidak bermaksud bisnes anda sudah menemui jalan buntu. Mungkin anda boleh mempertimbangkan kaedah crowdfunding pula.

Apakah yang dimaksudkan dengan crowdfunding?

Crowdfunding merupakan satu kaedah pengumpulan sumber kewangan dengan cara meminta daripada orang ramai atau beberapa organisasi. Ini termasuklah daripada ahli keluarga, rakan-rakan, orang ramai atau pelabur-pelabur individu.

Dengan kata lain, anda meminta sumber kewangan daripada pendanaan ramai pihak bagi merealisasikan projek yang anda ingin laksanakan.

Bagaimana konsep crowdfunding ini dilaksanakan?

Apabila anda ingin meminta sumber kewangan daripada ramai orang atau pelbagai pihak, semestinya anda perlu melakukan ‘pitching’ berkenaan projek atau bisnes yang anda ingin lakukan. Ini bagi memberikan maklumat mendalam berkenaan perusahaan tersebut kepada mereka yang berpotensi untuk melabur.

Pada masa sekarang, idea-idea atau pitching projek crowdfunding ini banyak dijalankan secara online melalui internet. Anda akan menyatakan idea anda kepada beribu-ribu orang di seluruh dunia tanpa had bagi mendapatkan pelabur yang berpotensi.

Biasanya, mereka yang ingin melakukan crowdfunding akan membuat satu laman web khas berkenaan projek mereka. Kemudian, ia akan menggunakan medium seperti media sosial bagi mengumpulkan wang bagi projek tersebut.

Kelebihan apabila anda melakukan crowdfunding

Semestinya, kaedah pengumpulan kewangan seperti crowdfunding ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihan crowdfunding yang perlu anda tahu ialah:

Cara pantas untuk kumpulkan dana

Apabila anda berada pada fasa permulaan memulakan bisnes anda, anda semestinya memerlukan modal sepantas yang boleh. Jika anda menggunakan kaedah pendanaan tradisional seperti pinjaman bank atau mencari pelabur yang berkeyakinan terhadap projek anda, ia mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

Melalui crowdfunding, anda boleh menjimatkan banyak masa anda. Ia bukan sahaja lebih pantas, malah lebih ramai individu dapat didekati atau dihubungi.

Bukan hanya mengumpulkan dana, tetapi juga sebagai platform marketing

Ketika mana dan berniat mengumpulkan dana melalui platform crowdfunding, dalam masa yang sama anda sebenarnya sedang mempromosikan projek anda kepada orang ramai. Apatah lagi, jika anda melibatkan penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Twitter.

Dengan sekelip mata, anda telah mempromosikan projek anda ke serata dunia dalam masa yang agak singkat. Ini akan menaikkan nama atau jenama anda pada masa yang sama anda mengumpul dana.

Mendapatkan feedback daripada orang awam

Melalui crowdfunding, anda juga sebenarnya sedang menguji idea atau projek anda bagi mendapatkan reaksi atau feedback daripada orang ramai. Mungkin anda beberapa individu yang berpengalaman akan memberikan komen berkenaan bagaimana untuk memperbaiki imej atau persembahan projek.

Sekiranya anda mendapat banyak reaksi positif atau pelabur yang berpotensi, ini bermkasud bahawa idea anda sedang berjalan dengan baik dan menerima respon yang memberangsangkan.

Cuba kaedah crowdfunding

Mungkin sudah tiba masanya untuk anda mencuba kaedah crowdfunding bagi mempercepatkan fasa pertama projek atau bisnes anda. Anda tidak perlu berhadapan dengan pelbagai syarat daripada pihak bank bagi meluluskan pinjaman yang dimohon.

Apa yang perlu anda lakukan hanyalah pitching yang bagus dan telus bagi meyakinkan pelabur berpotensi di luar sana.