Apakah maksud dan kepentingan forensik siber?

Teknologi 18 Mac 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Apakah maksud dan kepentingan forensik siber?
Apakah maksud dan kepentingan forensik siber? © Elen33 | Dreamstime.com

Seperti tajuk artikel ‘Apakah maksud dan kepentingan forensik siber?’ ini, ia adalah satu bidang yang mungkin sangat penting tetapi kurang diketahui ramai – Forensik Siber.

Apakah maksud sebenar forensik siber?

Perkaitan antara jenayah siber dan forensik siber

Kita pasti pernah mendengar mengenai kes-kes jenayah siber di seluruh dunia. Ini termasuklah yang berlaku di Malaysia di mana beberapa laman sesawang berkaitan kerajaan telah digodam.

Secara ringkasnya, jenayah siber merujuk kepada sebarang aktiviti jenayah yang melibatkan penggunaan komputer, rangkaian komputer atau rangkaian peranti lain. Kebanyakan daripada jenayah siber ini dilakukan oleh penjenayah siber atau penggodam.

Ada yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan wang dan ada juga yang dilakukan dengan sebab dan tujuan lain. Ia boleh melibatkan individu perseorangan atau organisasi tertentu.

Antara contoh mudah jenayah siber yang biasa berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti email scam, penipuan identiti, kecurian data, kecurian maklumat kad kredit dan laman sesawang yang digodam.

Kesemua ini adalah contoh jenayah siber yang sering berlaku dan akan terus berlaku. Untuk menyiasat dan menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah siber, di sinilah datangnya keperluan bidang forensik siber.

Makna Forensik Siber

Forensik siber bermaksud, ‘kaedah penyiasatan atau analisis yang dilakukan bagi mengumpulkan atau memelihara bukti daripada sesuatu alat’ seperti komputer.

Pengumpulan ini dilakukan daripada komputer atau peranti yang telah digunakan untuk melakukan jenayah siber. Biasanya, ia melibatkan pengekstrakan simpanan data elektronik untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Forensik siber memainkan peranannya dalam merungkai apakah yang berlaku di sebalik alat atau peranti yang digunakan. Selain itu, bidang ini juga membantu mencari pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah siber yang telah dilakukan.

Bagaimana kaedah forensik ini dilaksanakan?

Ada beberapa langkah atau prosedur tertentu dalam amalan penyiasatan bahan-bahan digital. Pertama sekali, komputer atau peranti berkaitan akan disimpan dengan rapi bagi mengelakkan sebarang cubaan mengubah suai data di dalamnya.

Seterusnya, para penyiasat akan membuat salinan digital bagi simpanan alat tersebut. Selepas salinan dibuat daripada peranti asal, peranti asal tersebut akan disimpan di satu lokasi dengan kawalan keselamatan yang tinggi.

Penyiasatan kemudiannya akan dijalankan dengan menggunakan salinan digital tersebut. Setelah siasatan siap dilakukan, para penyiasat akan membuat laporan lengkap bagi menyelesaikan segala persoalan yang berkaitan dengan kes tersebut.

Data-data ini kemudiannya akan digunakan bagi mencegah serangan sama yang mungkin akan berlaku pada masa akan datang.

Permintaan yang tinggi terhadap pakar forensik

Memandangkan kes-kes jenayah siber semakin meningkat saban tahun, terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi terhadap mereka yang pakar dalam bidang forensik siber.

Mereka yang mempunyai kepakaran ini amat diperlukan pada masa kini. Ini terutamanya berlaku dalam sektor-sektor yang terlibat dengan industri digital seperti perbankan, perniagaan dan lain-lain lagi.

Sepertimana pentingnya pakar forensik dalam jenayah fizikal, begitu jugalah pentingnya pakar forensik dalam dunia siber.