Apakah rahsia solat awal waktu?

Solat 04 Feb 2021 Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Apakah rahsia solat awal waktu?
Apakah rahsia solat awal waktu? © Arne9001 | Dreamstime.com

Ibadah solat adalah ibadah yang sangat sempurna dan istimewa di sisi Allah SWT.  Berbanding ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima menerusi perantaraan wahyu daripada Malaikat Jibrail a.s.

Ibadah solat diterima secara langsung oleh Nabi Muhammad SAW ketika mengadap Allah SWT di ‘Sidratul Muntaha’ dalam peristiwa Isra dan Mikraj.

Rahsia solat awal waktu

Perintah solat adalah wajib dilakukan oleh semua golongan usia. Daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua selagi ia berakal.  Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan). Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Surah Taha, ayat 132)

Ibadah solat di awal waktu mengajar kita menjadi manusia yang bukan sahaja berdisiplin malahan bijak mengurus masa. Setiap kali mendengar azan, kita sudah bersedia mengadap Allah SWT dan berteleku di tikar sembahyang untuk mengerjakan solat fardu.

Sikap sentiasa bersedia hanya akan berlaku apabila kita merancang solat. Jika kita bekerja, cuba elakkan daripada membuat temu janji atau perjumpaan pada waktu azan.  Sekiranya tidak dapat dielak, cuba selesaikan perbincangan sebelum masuk waktu.

Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat berkenaan masa mendirikan solat. Lantas Baginda bersabda yang bermaksud:

“Solat pada awal waktunya.”

(Hadis riwayat Imam At-Tirmidzi dan Abu Daud)

Segala amalan kita sama ada baik atau buruk bergantung kepada solat kita kepada Allah SWT. Kesempurnaan dan kualitinya, dan yang paling utama adalah niat kita. Solat yang baik dan sempurna akan terpancar daripada setiap perbuatan sehari-hari yang kita lakukan.

Ia mencegah kita  melakukan kemungkaran dalam semua keadaan termasuk apabila kita bersendirian. Seperti kata Ibn Qayyim Al-Jauziyya bahawa: “Barangsiapa mendahulukan Allah daripada segalanya, maka Allah akan mendahulukannya.”

Istiqamah menjadi mukmin yang beriman

Sebagai mukmin, sejak kecil emak kita selalu berleter supaya sembahyang di awal waktu. Apabila azan berkumandang, sama ada di masjid atau surau, atau emak mendengarnya di corong radio atau televisyen, emak akan segera menyuruh kita mengambil wuduk.

Jika terlewat, rotan sudah ditangan tunggu masa untuk melibas di punggang kita.  Itu kisah waktu kecil. Di sekolah, ada satu mata pelajaran yang mengajar tentang kaedah mendirikan solat. Dan kita turut diajar tentang sejarah asal usul solat.

Kita juga diajar tentang nilai ihsan dalam diri supaya melakukan solat walau tidak ada makhluk mengawasi kita. Kita melakukan solat kerana malu kepada Allah SWT untuk meninggalkan kewajipan fardu yang menjadi tiang agama.

Dengan berusaha mendirikan solat di awal waktu, kita istiqamah menjadi mukmin yang beriman, kita berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ihsan itu, hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekalipun kamu tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat mu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Justeru, marilah kita berusaha mengerjakan solat di awal waktu dan khusyuk dalam mengerjakannya. Nescaya kita akan dapati setiap pekerjaan kita akan menjadi lebih mudah dan hari kita lebih ceria. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan susah mahupun senang.