Apakah sebenarnya azam yang baik?

Masyarakat Tari Basir
Tari Basir
Apakah sebenarnya azam yang baik?
Apakah sebenarnya azam yang baik? © Olena Sakhnenko | Dreamstime.com

Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum kita menginjak ke bulan kedua tahun baharu 2021. Bulan pertama tahun baharu ini bermula dengan episod-episod yang kurang menarik, tragis dan menyayat hati.

Banjir besar yang melanda Malaysia dan Indonesia, pergaduhan para penyokong di Amerika Syarikat, dan tidak kurang juga episod pandemik virus COVID-19 yang sudah memasuki musim baharu.

Azam duniawi lawan azam ukhrawi

Namun, ia tetap tidak menghalang kita daripada memasang azam-azam baharu. Azam-azam baharu yang tercipta hasil deretan air mata pada tahun lepas 2020 yang menyedihkan.

Mungkin hanya satu sahaja azam yang kita mahu capai pada tahun baharu ini. Sementelah dengan segala macam krisis yang melanda seluruh aspek dek pandemik, ratusan azam itu kita tukarkan menjadi titipan doa.

Azam baharu di tahun baharu umpama irama dan lagu. Tidak boleh dipisahkan, dan sentiasa akan datang mengiringinya. Tidak perlu dibahaskan panjang lebar mengenai definisi azam dan sebagainya. Ia telah sedia maklum sebagai satu perkara yang ingin kita capai, dan sudah tentu ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, sebagai seorang Muslim, kita perlu memasang dua jenis azam. Azam yang ke arah keduniaan sudah tentu pasti dipasang. Namun azam yang menuju tempat tinggal abadi kita iaitu alam akhirat, jangan sesekali dilupakan.

Tidak salah sebenarnya memasang ratusan azam duniawi. Segala macam perkara yang perlu dicapai pada tahun 2021 ini, seperti mahu berkahwin, mendapat kerja yang bagus, membeli aset dan lain-lain lagi.

Namun, selaku seorang Muslim, sampai bilakah kita hanya sekadar menunaikan perintah Allah SWT yang hukumnya wajib? Tatkala kita sudah berjaya mencapai sesuatu yang sifatnya kehendak, bukan keperluan, seperti berjaya membeli kereta kedua, telefon bimbit baharu dan lain-lain lagi.

Lalu, apakah azam yang baik?

Tetapi kita masih lagi hanya menunaikan solat sunat Tahajud sekali dua setahun, membaca satu helai al-Quran selang beberapa bulan dan sebagainya. Meskipun wujudnya ratusan perintah Allah SWT yang hukumnya sunat dan harus, dan perintah yang wajib perlu diutamakan terlebih dahulu.

Namun, sampai bilakah kita hanya berada di takuk yang sama tentang amalan-amalan ukhrawi kita? Seorang Muslim yang bijak, tidak akan muflis kedua-duanya. Dia kaya di dunia, bahkan lebih kaya di akhirat kelak. Oleh itu, sebuah azam yang baik ialah adanya azam yang berbentuk keduniaan, dan juga ke arah akhirat.

Sebagai contoh, kita berazam agar boleh membeli sebuah kereta baharu tahun ini. Dan kita juga berazam untuk lebih banyak membaca al-Quran, sekurang-kurangnya sehelai satu hari. Maka, azam yang kita pasangkan sudah tentulah sesuatu perkara yang lebih baik, daripada apa yang kita lakukan tahun lepas.

Bahkan azam yang terbaik ialah gabungan antara keduanya, sebagai contoh, kita mahu meraih lebih banyak pendapatan dalam tahun baharu ini. Dalam masa yang sama, kita juga mahu untuk lebih banyak bersedekah kepada mereka yang memerlukan, atau di tabung masjid sekurang-kurangnya.

Oleh itu, pasanglah seberapa banyak pun azam baharu dalam tahun baharu ini. Namun, jangan pernah dilupakan azam ukhrawi. Selepas berazam, berusaha ke arahnya. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al’i ‘Imran, ayat 159:

“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.