Apakah sebenarnya sebuah rahmat

Kehidupan Nur Adibah Ramly 30-Ogo-2020
dreamstime_s_51516457
Mengharapkan rahmat Allah SWT © Aisyaqilumar | Dreamstime.com

Seringkali, definisi mengenai keberkatan mungkin dipengaruhi oleh apa yang anda lihat di dunia sekeliling mahupun di platfom media.  Dalam Islam, rahmat didatangkan dalam pelbagai cara dan ia menjadi peringatan bagi setiap umat Islam agar meningkatkan iman dan kesabaran dalam menjalani kehidupan dan tidak dipengaruhi oleh persekitaran.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Setiap kesusahan yang datang hadir bersama rahmat-Nya. Seringkali apabila dilanda kesusahan anda lebih mengingati Allah SWT dan tulus dalam setiap doa kepada-Nya. Sebaliknya apabila anda dalam keadaan selesa, anda  tidak  memberi tumpuan dan meluangkan lebih masa untuk beribadah. Kesusahan  menuntut anda untuk bersabar, bertawakal serta meletak sepenuh kepercayaan kepada Allah.

Meskipun ramai yang mengukur nilai keberkatan daripada jumlah kekayaan yang dimiliki, harga pakaian, mahupun keluasan rumah yang dimiliki, ia bukanlah sikap yang seharusnya anda miliki. Kadangkala ia sukar bagi anda menyedari perkara ini kerana cara penilaian masyarakat secara umum (materialisme tersebar luas), namun harta benda bukan pengukur keberkatan dan sumber kebahagiaan.

Sebagai contoh, bersikap terlalu materialistik akan menyebabkan anda mudah melupakan Allah SWT dan berasakan kehidupan ini abadi, padahal ia hanya sementara. Anda tidak akan  membawa bersama apa-apa daripada kehidupan ini ke Akhirat.

Mereka yang hidup dalam kemiskinan juga turut mendapat keberkatan dalam kehidupan disebabkan kemiskinan mereka. Contohnya, mereka mungkin tidak diuji melalui kekayaan dan bagaimana membelanjakannya kerana tidak mempunyai harta. Namun mereka diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT atas perjuangan dan kesabaran  semasa di dunia ini.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Selain itu, setiap kesulitan yang dialami oleh mereka yang dalam kemiskinan itu hanya bersifat sementara kerana kehidupan ini juga sementara. Kemiskinan, kesedihan atau kebahagiaan itu –  tiada satu apa pun akan kekal.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seseorang daripada kalian mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia keluarkan dari laut?” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2868)

Oleh itu, anda tidak boleh menafikan kenyataan bahawa keberkatan sebenar dalam hidup adalah apabila anda meningkatkan hubungan dengan Allah SWT, mendapatkan keredaan-Nya dan menjadikan diri  seorang Mukmin yang lebih baik.