Apakah senaman kardio? Senaman mudah, boleh dibuat di rumah

Kesihatan Fizikal 02 Mac 2021 Hannan
Hannan
Apakah senaman kardio? Senaman mudah, boleh dibuat di rumah
Apakah senaman kardio? Senaman mudah, boleh dibuat di rumah © Erhan Inga | Dreamstime.com

Senaman kardio (Cardiovascular exercise) atau latihan kardiovaskular turut dikenali dengan nama senaman aerobik. Ia merupakan sejenis senaman yang membuatkan degupan jantung anda jadi semakin pantas. Selalunya, senaman jenis inilah yang akan membuatkan anda berpeluh-peluh dan tercungap-cungap kepenatan.

Ramai yang tidak suka melakukan senaman kardio kerana ia merupakan sesuatu yang memenatkan. Walaupun begitu, senaman kardiolah yang memastikan anda kekal cergas, sihat dan bertenaga.

Apakah maksud senaman kardio?

Menurut Dr. Michael Bracko dari American College of Sports Medicine, sebarang senaman yang boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan membuatkan nafas anda menjadi berat – ini dikira sebagai senaman kardio.

Oleh sebab itu, senaman kardio bukan sahaja terhad kepada aktiviti seperti berlari, berbasikal atau mendaki gunung. Senaman angkat berat juga boleh menjadi senaman kardio jika ia membuatkan anda rasa penat.

Tetapi, mengapa kita perlu lakukan senaman kardio? Senaman ini dapat membantu anda membakar kalori, memperbaiki metabolisme badan dan menguatkan jantung serta paru-paru. Malah, kesan senaman kardio boleh dirasai hanya selepas satu senaman!

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan, senaman kardio merupakan satu cabaran. Disebabkan ia merupakan satu senaman yang memenatkan, ramai yang menghadapi kesukaran untuk terus konsisten dalam melakukan senaman ini.

Sebab itulah, anda perlu pilih senaman yang anda gemari jika ingin melakukan kardio. Jika anda menyukai aktiviti tersebut, besar kemungkinan anda boleh terus komited dalam jangka masa yang panjang.

Jika anda suka keluar rumah, cuba lakukan aktiviti seperti berjoging, berbasikal atau berjalan. Jika anda suka pergi ke gimnasium, ada banyak alatan senaman di sana yang boleh membantu anda melakukan senaman kardio.

Boleh lakukan senaman kardio di rumah

Sebenarnya, jika anda tidak suka bersenam di gimnasium atau di tempat awam, anda boleh melakukan senaman kardio di rumah. Malah, bersenam di rumah lebih mudah, efisien dan menjimatkan!

Malah, anda boleh lakukan senaman kardio tanpa ruang ataupun alatan yang banyak. Dengan sedikit kreativiti, anda boleh membina rutin senaman kardio yang efektif untuk membina otot, membakar kalori dan membuatkan badan anda rasa sihat.

Salah satu senaman kardio yang mudah dan boleh dilakukan di rumah ialah senaman lompat tali. Senaman ini merupakan senaman kardio yang amat baik kerana ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Tambahan lagi, senaman lompat tali boleh membakar sebanyak 220 kalori dalam masa 20 minit. Anda tidak perlukan sebarang alatan senaman yang mahal; Cuma sepasang kasut yang selesa dan tali skipping.

Jika anda masih belum mempunyai tali skipping, jangan risau. Anda boleh lakukan senaman lain seperti lompat bintang yang dapat membakar hampir 100 kalori dalam masa 10 minit. Malah, anda juga tidak perlukan sebarang peralatan khas untuk melakukan lompat bintang.

Berapa lamakah tempoh senaman?

Anda boleh mendapat faedah maksimum daripada senaman kardio jika anda melakukannya sekurang-kurangnya 3-4 kali seminggu, bergantung kepada jenis kardio yang anda lakukan.

Jika anda melakukan senaman yang berintensiti tinggi, jangan lupa untuk berehat untuk beberapa hari supaya otot anda boleh pulih dengan sepenuhnya.

Ingatlah, jangan sesekali paksa diri semasa bersenam. Jika anda baru hendak berjinak-jinak melakukan senaman, mula dengan perlahan dan tambah intensiti senaman secara perlahan-lahan.

Kemudian, cuba lakukannya setiap hari walaupun hanya selama lima minit. Senaman kardio akan jadi semakin mudah hari demi hari. Tidak percaya? Cubalah!