Aplikasi dalam talian, selamat atau tidak?

Teknologi Hannan
Hannan
Aplikasi dalam talian, selamat atau tidak?
Aplikasi dalam talian, selamat atau tidak? © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Tahun lepas, gempar apabila sebuah aplikasi dalam talian yang mempunyai hampir 100 juta pengguna Muslim di seluruh dunia dikatakan menjual data peribadi pengguna kepada pihak ketiga.

Muslim Pro, sebuah aplikasi yang diasaskan oleh BitsMedia daripada Singapura mula mendapat perhatian umum selepas satu pembongkaran dilakukan oleh sebuah penerbitan teknologi, Motherboard.

Bahaya aplikasi dalam talian

Menurut Motherboard, mereka mendapati bahawa data daripada Muslim Pro dijual menerusi dua saluran: satu kepada sebuah syarikat yang bernama Babel Street manakala satu lagi kepada X-Mode yang menjual data tersebut kepada pihak ketiga.

Babel Street mempunyai sebuah produk iaitu Locate X yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat untuk memerangi pengganas, pemberontakan dan melakukan penyiasatan khas di seluruh dunia.

Begitu jugalah dengan X-Mode yang mengumpul data lokasi secara terus daripada aplikasi tersebut sebelum menjualnya kepada kontraktor bebas.

Kejadian ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Manakan tidak, aplikasi Muslim Pro yang disangka teman baik orang Islam kini dilihat sebagai gunting dalam lipatan!

Bukan kali pertama umat Islam disiasat

Muslim Pro telahpun memohon maaf dan menafikan sebarang dakwaan tentang penjualan data kepada pihak tentera Amerika Syarikat. Malah, mereka juga telah bertindak memutuskan semua hubungan dengan X-Mode secara serta merta.

Berita mengenai Muslim Pro dan penjualan data terus tersebar luas di laman sosial dan menimbulkan kemarahan ramai pihak. Malah, orang Islam di seluruh dunia rasa dikhianati oleh Muslim Pro yang menurutnya, ‘tidak sedar’ mengenai penjualan data tersebut.

Bila dikaji, ini sebenarnya bukan pertama kali orang Islam diintip dan kehilangan privasi masing-masing.

Pada tahun 2001, Polis New York (NYPD) telah menggunakan teknologi pemetaan, fotografi dan pemberi maklumat sulit untuk merisik kedudukan orang Islam di bandar tersebut.

Ditambah pula dengan Islamophobia selepas 9/11, Michael Bloomberg, mantan Datuk Bandar New York terang-terangan menjustifikasikan tindakannya untuk mengintip Muslim di New York.

Menurut beliau lagi, beliau tidak rasa bersalah untuk menghantar beberapa orang anggota polis ke dalam masjid untuk mendengar khutbah untuk memastikan ‘isi kandungannya selamat’.

Bagaimana hendak pastikan aplikasi dalam talian selamat?

Bukan mudah untuk pastikan sesebuah aplikasi dalam talian itu selamat digunakan. Malah, dalam kes Muslim Pro sendiri, realitinya adalah pengguna telah diperdaya, dan data mereka diambil secara haram.

Sebenarnya, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan telefon anda dijangkiti malware. Pertama sekali, elakkan memuat turun aplikasi dalam talian daripada sumber selain daripada Google Store atau App Store.

Kedua, pastikan anda tidak tersalah memuat turun aplikasi palsu dan berbentuk penipuan (scam). Sebelum memuat turun sebarang aplikasi dalam talian, pastikan anda periksa dulu siapakah developer aplikasi tersebut.

Selain itu, jangan lupa baca review. Aplikasi yang baik mempunyai pelbagai jenis review yang merangkumi 1 hingga 5 bintang. Jika kesemua review pada aplikasi tersebut adalah 5 bintang, besar kemungkinannya review tersebut palsu.

Perkara ketiga pula, cuba lihat senarai kebenaran (permission) yang diminta oleh aplikasi dalam talian tersebut. Sebagai contoh, aplikasi seperti Instagram mungkin akan minta kebenaran anda untuk mengakses gambar, tetapi aplikasi lain seperti kalendar mungkin tidak.

Oleh sebab itu, baca dulu senarai kebenaran sebelum anda muat turun apa-apa aplikasi dalam talian!