Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Aplikasi Zoom! Dari tidak dikenali kini merata penggunaannya

Teknologi 14 Jan 2021
Terkini
Aplikasi Zoom! Dari tidak dikenali kini merata penggunaannya
Aplikasi Zoom! Dari tidak dikenali kini merata penggunaannya © Sergei Elagin | Dreamstime.com

Apa dia persidangan video Zoom? Jika soalan ini ditanya setahun atau dua tahun lepas, pasti ramai yang tidak pernah mendengarnya. Zoom atau nama rasmi perniagaan ini, Zoom Video Communications adalah aplikasi persidangan video berasaskan web.

Sama ada  pengguna komputer meja atau aplikasi mudah alih, Zoom membolehkan pengguna bertemu dalam talian, dengan atau tanpa video.

Aplikasi Zoom! Dari kurang dikenali kini digunakan di mana-mana

Zoom adalah syarikat Amerika yang ditubuhkan dan beribu pejabat di California, diperbadankan di Delaware, dan diperdagangkan secara terbuka di NASDAQ. Ia mempunyai pesaing seperti Microsoft Teams, Cisco WebEx, Skype, atau GoToMeeting.

Aplikasi syarikat-syarikat ini telah menjadi alat biasa untuk sesi perjumpaan maya atau virtual meeting. Dengan munculnya koronavirus COVID-19, perubahan mendadak turut berlaku dalam kehidupan dan kerja kita.

Pandemik COVID-19 telah mendorong peningkatan yang tidak pernah terjadi sebelumnya dalam pekerjaan jarak jauh dan keperluan untuk tetap berhubung dari rumah. Panggilan atau persidangan video telah menjadi amat popular pada tahun 2020.

Kini, kerja dari rumah atau kerja jarak jauh dengan aplikasi-aplikasi sebegini telah menjadi kebiasaan. Kemungkinan besar trend ini akan menjadi pendukung utama cara kerja masa hadapan.

Sepanjang tahun lalu, harga saham Zoom melonjak dari sekitar USD74 menjadi USD337 pada masa penulisan. Awal minggu ini, Zoom juga mengumumkan tawaran  sebanyak USD1.5 bilion saham biasa Kelas A kepada orang ramai.

Zoom bukan hanya persidangan video percuma

Syarikat Zoom telah menggandakan usaha operasinya semenjak Mac tahun lepas, iaitu apabila permintaan untuk perkhidmatannya melonjak dengan hebat. Zoom turut menambah baik ciri-ciri baru, terutamanya dari segi keselamatan.

Ini antara lain adalah untuk mengatasi masalah seperti Zoombombing  iaitu pengambilalihan atau rampasan video (video hijacking) yang berlaku ketika persidangan diadakan melalui internet atau URL, yang sebenarnya boleh diakses oleh penggodam komputer yang mahir.

Kini, Zoom boleh dianggap sebagai kaedah telekomunikasi yang stabil, mudah dan mesra pengguna. Zoom juga telah mencapai kejayaan penjualan satu juta tempat duduk dengan Zoom Phone.

Zoom Phone adalah platform komunikasinya yang tertumpu kepada syarikat perniagaan – lengkap dengan Zoom Meetings, Zoom Chat, Zoom Rooms dan Video Zoom Webinar. Perkhidmatan Awan ini tersedia dan dapat digunakan untuk panggilan tempatan di 44 negara.

Selain persidangan video, terdapat juga beberapa jenis khidmat tambahan lain yang bakal mengukuhkan kedudukan Zoom di masa depan. Jelas, kesan pandemik COVID-19 yang terus mempengaruhi cara kerja seluruh dunia telah mendorong perubahan besar kepada pekerjaan gaya hibrid dan kerja jarak jauh.

Hanya masa akan menentukan teknologi yang bagaimana akan mula diterokai oleh syarikat-syarikat pesaing lain dalam perlumbaan untuk menjadi yang terhebat dan yang paling di hadapan dalam industri komunikasi.