Arab Saudi Buka Pintu Pelancongan Kepada Dunia

Sebut sahaja negara Arab Saudi, apa yang terbayang di fikiran kita adalah ia merupakan sebuah negara yang dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia bagi mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Setiap tahun, kerajaan Arab Saudi hanya mengeluarkan visa untuk umat Islam dari negara-negara lain memasuki negara tersebut bagi tujuan ibadah, selain kebenaran turut diberikan kepada ahli perniagaan.

Namun, baru-baru ini, negara konservatif itu membuat satu pengumuman yang mengejutkan dunia kerana ia akhirnya akan mengeluarkan visa pelancong bagi menggiatkan ekonomi berasaskan pelancongan negara itu.

Langkah itu adalah sejajar dengan agenda utama program pembaharuan Visi 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai persediaan untuk ekonomi terbesar rantau Arab itu berdepan dengan zaman selepas era minyak.

Memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan yang menarik

Justeru, bersempena dengan pengumuman tersebut, kerajaan Arab Saudi turut memperkenalkan beberapa lokasi pelancongan yang menarik termasuk lima tapak warisan dunia UNESCO, pantai Laut Merah dan Empty Quarter.

Lima tapak warisan dunia UNESCO itu terdiri daripada:

  1. Madain Saleh di Al-Ula – Sebuah tapak terpelihara yang terbesar bagi tamadun penduduk Nabatea, selatan Petra di Jordan.
  2. Daerah At-Turaif di Ad-Diriyah – Ibu kota pertama negara Saudi.
  3. Jeddah, Pintu Masuk ke Mekah – Bercirikan tradisi seni bina yang tersendiri.
  4. Seni Dinding Gua di Wilayah Hail – Menunjukkan inskripsi objek manusia dan haiwan yang berusia 10,000 tahun.
  5. Al-Ahsa Oasis – Dengan 2.5 juta batang pokok kurma di oasis yang terbesar di dunia.

Untuk pengetahuan anda, negara Arab Saudi menempatkan 13 wilayah, yang mana setiap satunya mempunyai tradisi dan budaya yang tersendiri dengan tumpuan kepada trend kontemporari yang sedang berkembang.

Antara tarikan yang boleh menggamit kedatangan pelancong termasuk King Abdul Aziz Centre for World Culture, Dhahran; Taman arca moden di sepanjang Corniche, Jeddah; Jameel House of Traditional Arts, Jeddah; Nassif House, Jeddah; Festival Tahunan Flowerman, Asir; Festival Winter at Tantora, Al-Ula; Festival Filem Antarabangsa Laut Merah yang akan dilancarkan pada Mac 2020, hidangan masakan Saudi kontemporari oleh Ali bin Yousef di Riyadh dan Seni Zahrah Al-Ghamdi, yang mana karya seninya dipamerkan di Venice Biennale pada tahun ini.

Selain itu, Arab Saudi mempunyai kepelbagaian landskap muka bumi termasuk gunung-ganang yang menghijau di Asir, perairan jernih Laut Merah, dataran musim sejuk diselaputi salji di Tabuk dan pasir gurun berubah-ubah di Empty Quarter.

Bukan itu sahaja, beberapa destinasi pelancongan baharu kini juga sedang giat dibangunkan, termasuk bandar futuristik NEOM, bandar hiburan Qiddiya berhampiran Riyadh dan pelbagai destinasi mewah di tepian Laut Merah.

Kedengaran hebat dan mengujakan, bukan?

Sebenarnya, ada banyak ‘permata tersembunyi’ di negara Arab Saudi yang boleh diterokai tidak lama lagi.

Peraturan yang perlu dipatuhi pelancong

Meskipun Arab Saudi bakal membuka pintunya kepada pelancong dari seluruh dunia, kerajaan negara itu tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pelancong yang melakukan kesalahan.

Sehubungan itu, ia mengumumkan bahawa hukuman denda akan dikenakan terhadap orang ramai yang melakukan 19 kesalahan membabitkan tatasusila seperti berpakaian tidak senonoh dan mempamerkan kemesraan di tempat awam.

Antara kesalahan lain yang tersenarai di laman web permohonan visa pelancongan itu adalah seperti membuang sampah, meludah, tidak mengikut giliran ketika beratur, mengambil gambar dan video tanpa kebenaran individu terbabit serta bermain muzik ketika waktu solat.

Kadar denda yang dikenakan adalah antara 50 riyal (RM55.75) hingga 6,000 riyal (RM6,691).

Polis Arab Saudi turut mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memantau kesalahan dan mengenakan denda.

Langkah ini harus dipuji kerana ia menunjukkan bahawa negara itu masih mengekalkan ciri-ciri keislaman dan kesopanan serta kesederhaan, meskipun dalam kalangan pelancong luar yang ingin mengunjungi negara itu.

Jadi, jaga tingkah-laku anda apabila melancong ke Arab Saudi nanti!

Selepas ini, bolehlah anda terus mengembara ke seluruh negara itu setelah usai melakukan ibadah umrah.

Foto: PR Newswires