Artifak 17,000 tahun ditemui di Gunung Pulai, Baling

Adea Ghafar 22-Jan-2020
Gunung Pulai, Baling, Kedah
Gunung Pulai, Baling, Kedah © | Dreamstime.com

Lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik yang dianggarkan berusia 17,000 tahun telah dijumpai ketika ekskavasi dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) di beberapa buah gua di Gunung Pulai, Baling, Kedah. En. Mesran Mohd Yusop, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara berkata, artifak dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai telah berjaya ditemui di dalam Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar.

Eksplorasi bersama yang berlangsung pada April hingga Oktober 2019 itu bertujuan untuk membuat dokumentasi dan inventori tapak bagi mengumpul data arkeologi terbaru untuk  mengesahkan kebarangkalian jika terdapat jumpaan yang masih belum diterokai penyelidik terdahulu. Penyelidikan dan ekskavasi ini dijalankan bersama dengan Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penemuan artifak berharga itu telah membuktikan wujudnya kehidupan prasejarah di persekitaran Gunung Pulai dan menawarkan petunjuk baharu mengenai kehidupan di zaman tersebut. Bagi mengesahkan usia artifak yang dijumpai secara saintifik, sebahagian besar daripadanya telah dihantar ke Singapura untuk dianalisa. Jika terbukti usianya 17,000 tahun, ia bermakna Gunung Pulai adalah antara penempatan tertua di Kedah, lebih tua daripada Tapak Arkeologi Sungai Batu di Merbok.

Penemuan bersejarah itu bakal menjadikan Gunung Pulai sebagai tapak arkeologi terpenting yang patut dihargai dalam konteks data arkeologi negara. Ia juga boleh dijadikan asas dalam memahami asal-usul masyarakat dahulu kala. Di samping itu, kawasan persekitaran Gunung Pulai dan gua-gua di situ berupaya menjadi pusat tumpuan pelancongan dan penyelidikan yang popular.

En. Ruzairy Arbi, Pengarah Bahagian Arkeologi di Jabatan Warisan Negara (JWN) turut menjelaskan, jumpaan ini menggambarkan masyarakat zaman Paleolitik itu telah menggunakan batu untuk memburu dan juga menyimpan makanan. Penemuan kulit siput sedut pula membuktikan amalan pemakanan mereka. Sementara itu, JWN berharap agar orang ramai dapat mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005, dan membuat laporan sekiranya terdapat jumpaan bersejarah baru di kawasan Gunung Pulai.