Asal usul pembinaan Kaabah

Kepercayaan Abi Aasim 11-Jun-2020
Kaabah, rumah Allah SWT © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Kaabah merupakan titik pusat bagi agama Islam. Dua ibadah utama umat Islam yang terkandung di dalam Rukun Islam mempunyai kaitan dengan Kaabah iaitu ibadah solat dan juga ibadah haji.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 125: “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan rumah suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadah haji) dan tempat yang aman, dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang.” Dan Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail (dengan firman-Nya): “Bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah dan Masjidil Haram dan segala perkara yang dilarang) untuk orang bertawaf, dan orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang yang rukuk dan sujud.”

Imam Badr al-Din al-‘Aini dalam kitabnya Umdah al-Qari berkata: Para ulama telah khilaf tentang siapa yang pertama membina Kaabah. Khilaf ini telah terbahagi kepada tiga jenis: Malaikat, Nabi Adam a.s. dan Seth atau Shith bin Adam a.s. Ketiga-tiga pendapat ini tidak mempunyai sebarang dalil yang sahih.

Pendapat seterusnya adalah Kaabah ini dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail  atas perintah Allah SWT. Pendapat ini adalah lebih jelas kerana mempunyai dalil yang sahih melalui firman Allah di dalam Al-Quran.

Firman Allah dalm surah Al-Hajj, ayat 26: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).”

Sebelum Kaabah menjadi kiblat untuk umat islam bersolat, kiblat untuk umat Islam berada di Baitulmuqadis. Setelah penghijrahan Nabi SAW dan umat Islam ke kota Madinah dari kota Mekah, Allah SWT telah memerintahkan Kaabah sebagai kiblat umat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 144: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Sebelum Rasulullah SAW menjadi Rasul, Mekah telah dilanda banjir kilat dan Kaabah telah rosak. Kaum Quraisy membina semula Kaabah tersebut. Walaubagaimanapun, ketua-ketua puak Quraisy telah bertelingkah untuk menentukan siapa yang layak meletakkan batu Hajar Al-Aswad kembali ke kedudukannya.

Pertelingkahan ini akhirnya telah diselesaikan oleh Rasulullah SAW. Baginda mencadangkan ketua-ketua kaum Quraisy ini memegang bucu serbannya yang diletakkan Hajar Al-Aswad. Setelah sampai ke tempatnya, Rasulullah telah meletakkan Hajar Al-Aswad ke posisi akhir batu tersebut di penjuru Kaabah.

Simboliknya, Kaabah dilihat sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia.  Sekiranya tiada satu arah tetap untuk kita hadapi, maka semua akan berpaling ke mana-mana arah yang disukai. Perkara ini boleh mencetuskan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Oleh itu adalah penting untuk menyediakan hala tuju yang sama bagi menunjukkan kesatuan umat Islam di seluruh dunia.