Asam Pedas dan daging tetel

Makanan Hanita Hassan 18-Jul-2020
Asam pedas tetel © Mohamad Ridzuan Abdul Rashid | Dreamstime.com

Masakan Asam Pedas terkenal dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya di negeri Melaka dan Johor.  Ia boleh dimasak dengan pelbagai jenis ikan seperti tenggiri, parang, kembong, siakap, jenahak dan pari. Bagi penggemar daging, paling sedap dimasak menggunakan daging tetel.

Daging tetel ialah bahagian daging yang lembut yang bercampur dengan  urat, tulang, lemak biasa dan lemak beku. Selalunya tetel lebih enak dimasak Asam Pedas. Namun ada juga yang suka masakan lemak cili padi, gulai mahupun kari.

Kebiasaanya setiap kali musim Haji, banyak juadah yang dimasak bersama dengan daging. Uniknya bagi penggemar tetel, ia akan mengambil lebihan daging tetel yang berlemak yang biasanya tidak diberikan kepada orang ramai untuk dibuat juadah masak Asam Pedas.

Lemak yang terdapat pada daging tetel ini menjadi penyedap kepada masakan Asam Pedas anda. Namun perlu beringat dan berpada-pada apabila makan juadah ini bimbang terlebih makan boleh membawa kepada kerosakan jantung dan pelbagai penyakit lain.  Ini kerana jumlah kandungan lemak pada daging tetel adalah tinggi.

Biasanya daging tetel boleh anda beli di pasar iaitu di bahagian daging. Tetel ialah lemak yang telah diasingkan daripada daging pejal dan dilonggok di satu tempat.  Di Melaka, harga daging tetel agak mahal. Ia boleh mencecah sekitar RM15 sekilo.

Daging tetel ini perlu dibasuh terlebih dahulu dan toskan. Sementara itu, bahan-bahan lain untuk tumisan perlu disiapkan. Antaranya cili kering yang telah direbus lembut dikisar bersama bawang kecil dan bawang putih, kunyit hidup dan belacan.

Masakan ini lebih menyerlah apabila ditambah dengan beberapa helai daun limau purut, lengkuas yang diketuk dan serai. Semua bahan kisar, lengkuas, serai dan daun limau purut ditumis hingga naik bau dan garing. Kemudian masukkan daging tetel dan air asam Jawa. Kacau sebati dan biarkan mendidih.

Asam Pedas boleh dihidangkan dengan ulam-ulaman bagi memberi keseimbangan dan menambah selera dengan hidangan daging tetel yang banyak kandungan lemak.  Ulam mengandungi banyak khasiat. Kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama seperti kalsium, fosforus, zat besi, natrium dan kalium terdapat dalam ulam.

Jenis ulam yang mudah didapati di pasar terdekat atau tanam di belakang rumah seperti daun pegaga dan ulam raja.  Anda juga boleh mencuba ulam jantung pisang tetapi perlu dicelur terlebih dahulu sebelum dimakan.  Selain itu daun selom, kacang botor, timun, petai dan cekur.

Bagi peminat bendi, anda hendaklah merebusnya dahulu.  Bendi juga baik untuk menguatkan ingatan dan kecergasan memori. Pucuk ubi juga boleh didapati di pasar dengan mudah terutama di bahagian sayur  kampung. Begitu juga dengan daun kaduk, jering, terung pipit, rebung dan peria katak.

Selain tetel, anda juga boleh menukar kepada jenis ikan mengikut kesesuaian.  Ikan parang atau pari popular sebagai hidangan Asam Pedas.  Begitu juga dengan ikan-ikan lain seperti kembong, jenahak dan siakap. Bagi penggemar ayam, boleh juga menggunakannya dalam masakan ini.

Masakan Asam Pedas juga tidak lengkap jika dihidang tanpa sambal belacan. Ia adalah gabungan lengkap untuk menambah selera penggemar Asam Pedas. Selamat mencuba!