Asas ilmu faraid yang perlu diketahui

Islam untuk Pemula Aimy Azhary
Pilihan oleh Aimy Azhary
Asas ilmu faraid yang perlu diketahui
Asas ilmu faraid yang perlu diketahui © Airdone | Dreamstime.com

Faraid merupakan ilmu yang sangat penting untuk diketahui kerana melibatkan pengurusan harta umat Islam. Mereka yang sengaja melanggar asas ilmu faraid ini dianggap cuba menandingi kebijaksanaan Allah SWT dalam menetapkan hukum.

Mukmin yang baik adalah mereka yang meletakkan iman sebagai aras penilaian tertinggi dalam membuat sesuatu keputusan. Dengan itu, iman mengisyaratkan bahawasanya mustahil bagi Allah Taala menetapkan sesuatu hukum yang tidak adil dan membinasakan manusia.

Kerana Dia adalah Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Pengenalan kepada ilmu faraid

Menurut istilah syarak, faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia. Harta peninggalan tersebut hendaklah didahului dengan empat proses utama sebelum dibahagikan secara faraid. Proses tersebut ialah:

  1. Perbelanjaan pengurusan jenazah
  2. Melangsaikan hutang agama dan hutang kepada manusia
  3. Menyelesaikan tuntutan harta sepencarian.
  4. Melaksanakan wasiat

Rukun asas ilmu faraid

Terdapat tiga rukun asas dalam pembahagian harta pusaka iaitu orang yang mewariskan (si mati), waris dan harta peninggalan. Sekiranya rukun tersebut cukup, maka proses pembahagian boleh dijalankan.

Sebaliknya jika tidak dipenuhi, haram melakukan pembahagian faraid kerana pasti akan menimbulkan kezaliman dan huru-hara antara saudara.

Antara kes yang sering berlaku, si mati telah lunas hartanya ketika melalui empat proses di atas. Namun, segelintir umat Islam masih ingin menegakkan benang yang basah dengan menuntutnya sedangkan harta si mati ketika itu sudah tidak wujud.

Rasulullah SAW bersabda:

“Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Enam golongan yang sentiasa mewarisi

Terdapat enam golongan yang sentiasa mempunyai kelayakan faraid daripada harta pusaka. Mereka ialah suami, isteri, ibu, bapa, anak lelaki dan anak perempuan.

Sekiranya kita merupakan antara enam golongan tersebut kepada si mati, maka kita layak menerima bahagian faraid tanpa Hijab Hirman. Hijab hirman bermaksud hijab yang menafikan terus kelayakan pemilikan harta pusaka seperti kelayakan cucu ketika si mati mempunyai anak lelaki.

Adapun Hijab Nuqsan, iaitu hijab yang hanya mengurangkan kadar pemilikan harta pusaka. Contoh hijab nuqsan seperti si bapa boleh berkurang bahagiannya ketika si mati mempunyai anak lelaki.

Walaupun begitu, anak lelaki dan anak perempuan kadang-kala tidak mendapat apa-apa daripada harta pusaka meskipun layak. Ini disebabkan kewujudan mereka bersama-sama meletakkan mereka dalam status ‘Asobah’ (baki).

Asobah bermaksud waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditentukan dalam al-Quran. Golongan Asobah hanya berhak ke atas baki harta setelah didahulukan waris yang menerima bahagian faraid.

Adakalanya mendapat sebahagian baki, adakalanya mewarisi semua harta si mati, dan adakalanya tidak mendapat langsung.

Dua nisbah satu adalah tidak adil?

Kecelaruan ini seringkali didengari dalam kalangan masyarakat Islam. Ia bukanlah perkara baru bahkan telah ditimbulkan sejak dahulu lagi serta dijelaskan oleh para ulama silam.

Antara logik di sebalik ketetapan itu ialah kaum wanita tidak ditaklifkan oleh Islam untuk menanggung nafkah sesiapa. Ini berlainan dengan kaum lelaki yang terkadang perlu menanggung nafkah meskipun belum berkahwin lagi.

Selain itu, dua nisbah satu bagi pembahagian lelaki dan perempuan hanya ketika dalam situasi asobah. Kebanyakan asobah adalah melibatkan kaum lelaki, dan kebanyakan bahagian fardu melibatkan kaum wanita.

Ini bermakna, kebanyakan lelaki masih tiada jaminan akan mendapat harta pusaka kerana ia melibatkan baki harta sekiranya masih ada. Sedangkan golongan wanita seperti ibu, nenek, anak perempuan dan lain-lain telah ditentukan bahagian mereka secara tetap di dalam al-Quran.

Islam adalah gaya hidup terbaik

Tuntasnya, ajaran Islam adalah gaya hidup terbaik dan seluruh ketetapannya tidak lari dari konsep akidah. Umat Islam perlu mengetahui bahawasanya kemurahan rezeki tidak akan dirasai dengan kezaliman, melainkan melalui landasan takwa.

Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq. ayat 2-3:

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”