Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Aset simpanan BNM ialah $103.61 bilion (US)

Perniagaan Adea Ghafar 31-Jan-2020
Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia © Tktktk | Dreamstime.com

Pada akhir Disember 2019, aset simpanan atau rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sebanyak $103.61 bilion (US$1 = RM4.08). Aset mata wang asing lain pula adalah sebanyak $415.1 juta (US). BNM melalui kenyataannya mengumumkan, bagi sepanjang 12 bulan seterusnya, aliran keluar jangka pendek yang dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing ialah $4.19 bilion (US).

Menurut kenyataan ‘Pemberitahuan Terperinci Rizab Antarabangsa Pada Akhir Disember 2019’ yang dikeluarkan, jumlah tersebut termasuk pembayaran balik berjadual bagi peminjaman luar negeri kerajaan Malaysia dan pembayaran balik perolehan Bil Antara Bank dalam mata wang asing. Pada masa yang sama, kedudukan hadapan jangka pendek adalah sejumlah $13.683.3 bilion (US) pada akhir Disember 2019. Ini mencerminkan pengurusan kecairan atau mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Kenyataan BNM menambah, selaras dengan amalan yang telah digunakan sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak $2.65 bilion (US) dalam 12 bulan akan datang. Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka adalah jaminan kerajaan akan hutang luar negeri dalam mata wang asing yang bakal matang dalam tempoh setahun, dengan jumlah sebanyak $336.6 juta (US).

Di samping itu, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman mata wang asing dengan opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tidak bersyarat yang disediakan oleh atau diberikan kepada bank-bank pusat yang lain, syarikat-syarikat antarabangsa serta bank-bank atau institusi-institusi kewangan yang lain.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!