Ashabul Ukhdud, perantis ilmu sihir, dan bayi yang boleh bertutur

Pendidikan 30 Apr 2021 Aimy Azhary
Aimy Azhary
Ashabul Ukhdud, perantis ilmu sihir, dan bayi yang boleh bertutur
Ashabul Ukhdud, perantis ilmu sihir, dan bayi yang boleh bertutur © Andy Chisholm | Dreamstime.com

Ashabul Ukhdud bermaksud ‘kelompok yang menggali parit’, iaitu gelaran yang Allah SWT berikan kepada suatu kelompok yang menggali parit dan menyalakan api yang marak untuk membunuh orang beriman.

Kisah mereka ini diabadikan di dalam al-Quran, dalam surah al-Buruj dan sebuah hadis panjang (riwayat Imam Muslim, 3005) untuk mengajar umat Islam tentang erti kecekalan dalam mempertahankan akidah dan prinsip iman.

Ashabul Ukhdud dan tukang sihir

Suatu ketika dahulu, ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir yang hebat. Dia mengadu akan keadaannya yang sudah tua dan memohon kepada raja itu supaya mengutus seorang budak sebagai perantis untuk diajarkan ilmu sihir.

Maka belajarlah seorang ghulam (hamba pembantu) yang terpilih dengan si tukang sihir berkenaan. Dalam perjalanan menuntut ilmu sihir itu,  beliau sedar akan seorang pendeta mukmin yang menarik perhatiaannya. Beliau mendekati pendeta itu dan terus berminat menuntut ilmu daripadanya. Maka bermulalah siri permusafiran ilmu beliau daripada guru yang baik, dan guru yang jahat.

Namun, si ghulam lebih berminat belajar dengan sang pendeta, sehingga menyebabkan beliau sering lambat menghadiri sesi pembelajaran bersama tukang sihir, sehingga dipukul olehnya.

Memohon Allah SWT agar diberikan petunjuk

Setelah suatu tempoh, si ghulam ditakdirkan berhadapan dengan satu kesulitan. Ada seekor haiwan yang menggangu manusia sehingga menghalangi jalan utama mereka untuk melakukan rutin harian.

Oleh kerana pertembungan ilmu dari kedua gurunya, beliau menggunakan situasi tersebut untuk menetapkan pendirian, lalu mengambil batu dan berdoa:

“Ya Allah, sekiranya urusan sang rahib lebih kau sukai daripada urusan si tukang sihir, maka matikanlah haiwan itu.”

Kemudian, dilemparkan batu tersebut dan haiwan tersebut terus rebah menyembah bumi.

Menteri raja yang sembuh daripada buta

Sehingga beberapa waktu, si ghulam sudah terkenal dengan kemahirannya menyembuhkan penyakit kusta dan buta. Seorang menteri kanan kepada raja, mendatangi ghulam untuk mengubati matanya yang buta.

Dia datang dengan sejumlah harta, lalu berkata, “Adakah engkau boleh menyembuhkanku? Akan ku berikan seluruh harta ini.”

Si ghulam menjawab, “Aku tidak boleh mengubati sesiapa, yang mengubati hanyalah Allah. Sekiranya engkau beriman kepada Allah, dan engkau berdoa kepada-Nya, sudah patu pasti engkau akan sembuh.” Lalu menteri tersebut beriman dan sembuh daripada buta.

Ketika menghadiri mesyuarat bersama raja sepertimana rutinnya yang biasa, sang raja menyedari keadaannya yang sudah sembuh. Apabila ditanya, menteri itu menjawab bahawasanya Allah SWT yang menyembuhkannya, dan menyuruh sang raja supaya beriman kepada Allah.

Jawapan itu membuatkannya naik berang. Menteri tersebut diseksa dengan teruk sehingga dia pasrah lalu memetik nama si ghulam.

Hukuman oleh raja gagal dilaksanakan

Si ghulam diugut supaya murtad, tapi beliau enggan. Maka raja mengarahkan tenteranya mencampakkan beliau dari bukit yang tinggi.

Saat beliau ingin dicampakkan, beliau berdoa: “Ya Allah, cukupkanlah aku dari mereka sekehendakMu.” Ternyata gunung bergoncang dan mereka semua jatuh.

Ghulam berjalan kembali menghadap raja, lalu diarahkan pula supaya dilemaskan di tengah laut. Mereka membawanya ke tengah laut lalu si ghulam berdoa sekali lagi. Alih-alih, perahu mereka terbalik dan mereka semua tenggelam.

Si ghulam pulang dan tiba di hadapan raja. Raja pun bertanya dengan penuh hairan, “Bagaimana boleh jadi begini? Apakah yang terjadi kepada tenteraku?”

Si ghulam menjawab: “Allah mencukupiku daripada mereka.”

Setelah itu, dia berkata kepada raja, “Engkau tidak akan bisa membunuhku hingga kau bersedia melakukan apa yang aku perintahkan.”

Ghulam mengajar raja tentang cara membunuhnya

Raja tersebut bertanya, “Lalu apa yang kau perintahkan? ”

Ghulam itu berkata, “Kumpulkan semua orang ditanah lapang yang luas lalu saliblah aku diatas pohon, ambillah anak panah dari sarung panahku ini lalu ucapkan: Dengan nama Allah, Tuhan kepada ghulam (anak itu).”

Sekiranya engkau melakukannya, engkau pasti akan bisa membunuhku.”

Akhirnya raja itu melakukannya sebagaimana diperintahkan. Dia menarik busur lalu berkata: “Dengan nama Allah, Tuhan kepada ghulam.” Anak panah dilepaskan ke dahi si ghulam lalu beliau pun meninggal dunia.

Orang ramai yang menyaksikannya pun berkata, “Kami beriman dengan Tuhan kepada ghulam itu.”

Bayi yang bertutur ketika di ambang maut

Setelah beberapa ketika, seorang pembantu datang kepada raja dan melaporkan, “Tahukah engkau, sesuatu yang engkau takutkan kini telah menimpamu? Rakyat kita telah beriman seluruhnya!”

Lalu dengan marahnya, raja memerintahkan digali parit di tengah kota dan dinyalakan api. Raja bertitah, “Siapa pun yang tidak meninggalkan agamanya, akan dipanggang di dalamnya hidup-hidup.”

Ashabul ukhdud meneruskan upacara tersebut dan ramai mati kerana mempertahankan akidah, sehingga tibalah giliran seorang wanita bersama bayinya.

Ketika di tebing parit itu, wanita tersebut seakan-akan ingin mundur agar tidak terus tersandung ke dalam api yang  sedang marak itu. Tiba-tiba, Allah SWT mentakdirkan bayinya boleh bertutur lalu berkata: “Hai ibuku, bersabarlah! Sesungguhnya engkau di atas kebenaran.”