Asiah binti Muzahim r.a wanita Syurga

Agama Hanita Hassan 13-Ogo-2020
Asiah r.a isteri Firaun © Prakich Treetasayuth | Dreamstime.com

Asiah binti Muzahim r.a ialah isteri kepada Firaun dan ibu angkat kepada Nabi Musa a.s.  Asiah amat disanjung dan antara empat wanita terpuji dalam Islam.  Beliau adalah wanita pertama yang beriman dengan Nabi Musa a.s setelah melihat mukjizatnya.  Berani kufur dengan suaminya demi mempertahan saudara seakidahnya iaitu Masitah, tukang sikat rambut anak-anak Firaun yang mengaku beriman dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan, tetapi tidak (ramai) daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempurnaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun.”  (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Berketurunan bani Israel, Asiah r.a berasal dari Mesir, keluarganya kaya-raya. Beliau ialah mak cik sebelah Nabi Musa a.s.  Digelar ibu kepada orang miskin kerana suka bersedekah sejak muda lagi. Cantik dan baik hati, sempurna akalnya, bijak mengurus masalah serta membela budak-budak kecil selepas berkahwin dengan Firaun.

Sewaktu Nabi Musa a.s masih bayi, Baginda dihanyutkan di Sungai Nil oleh ibunya untuk mengelakkan dibunuh oleh Firaun, Raja Mesir yang paling zalim pada masa itu dan sehingga kiamat.  Asiah r.a telah menyakinkan suaminya supaya bayi tersebut tidak dibunuh dan dijadikan anak mereka.  Tanpa sedar, Asiah  juga telah menyuruh ibu Nabi Musa menyusukannya.

“Dan berkatalah isteri Firaun: ‘(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu:  janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.’ Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”  (Surah Al-Qasas, ayat 9)

Pada zaman itu, Firaun membunuh bayi lelaki setelah bermimpi kerajaan dia akan dilumpuhkan oleh seorang lelaki dari keturunan Bani Israel.  Firaun cuba  melawan takdir dan membunuh semua bayi lelaki. Setelah menyedari bahawa akan pupus kaum lelaki, maka dia mengambil keputusan membunuh bayi lelaki selang setahun.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak.  Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.  Sesungguhnya adalah dia dari golongan yang membuat kerosakan.”  (Surah Al-Qasas, ayat 4)

Beberapa kali Asiah r.a menyelamatkan Nabi Musa a.s daripada dibunuh oleh suaminya Firaun.  Suatu ketika semasa Firaun bermain-main dengan Musa dan diletaknya Musa di badannya, Musa menarik-narik janggutnya sehingga dia berasa sakit.  Begitu juga semasa Musa bermain rotan, Musa terpukul Firaun.  Kejadian ini menyebabkan Firaun mengambil keputusan mahu membunuh Musa kerana tidak pernah disakiti seperti itu.

Dengan kebijaksanaan Asiah r.a, dia berjaya memujuk Firaun.  Walau bagaimanapun, Firaun tidak puas hati dan meletakkan permata dan  arang yang berapi di hadapan Musa a.s untuk menguji tahap kecerdikan Musa.  Jika Musa budak yang berakal pasti akan dipilihnya permata.  Namun dengan kuasa Allah SWT, Musa telah memilih arang yang panas dan menggigitnya sehingga lidahnya terbakar. Ini adalah sebahagian ujian Firaun yang tidak puas hati dengan Baginda.

Begitulah kuasa wanita.  dia boleh menundukkan orang yang paling zalim.  Kata-katanya boleh mengubah kata-kata orang yang zalim. Sekiranya wanita itu baik, maka baiklah keluarganya, baiklah masyarakat.  Sebaliknya, sekiranya wanita itu jahat maka jahatlah yang tersebar.