Ayah, pemimpin keluarga ke Syurga

Kehidupan Zalina Majid 13-Ogo-2020
Lelaki, suami dan bapa © Odua | Dreamstime.com

Satu keajaiban, nama seorang ayah sampai dalam Syurga dan dia tetap ayah kepada anak-anaknya. Siapa pun ayah kita, bergaji rendah atau tinggi, kaya atau miskin, segak atau tidak berupa, dikenali ramai atau tidak, dia tetap ayah kita dan kekal selama-lamanya sehingga ke Syurga.

Ayah yang cemerlang dan berjaya ialah apabila dia mengambil buku amalnya dengan tangan kanan dan memastikan anak-anaknya berjaya melakukan sedemikan rupa. Maka, anak-anaknya adalah ahli Syurga.

Kejayaan anak walaupun berpangkat mahupun bergaji besar, bukanlah penentu untuk menjadi ahli Syurga ataupun ahli Neraka. Adapun kejayaan seorang ayah yang paling besar dan berharga ialah apabila dia dapat memimpin dan berpegang tangan membawa kesemua anaknya masuk ke Syurga bersama-sama dengannya.

Tanggungjawab besar bagi seorang ayah juga memastikan anak-anak hidup di atas muka bumi dengan cara yang dikehendaki oleh Allah SWT sebagaimana cara beragama. Tugas itu perlulah mengikut kehendak Allah  dan bukannya kehendak manusia.

Empat kategori lelaki yang paling banyak tanggungjawab di dalam dunia ini, pertamanya ialah Rasul dan Nabi, keduanya ulama, ketiga seorang pemimpin dan lelaki yang terakhir ialah seorang ayah.

Tugas seorang ayah dipikul tanpa berbelah bagi. Sebagai seorang ketua keluarga ayah akan menunjuk dan mempamerkan contoh  terbaik kepada anak dan isteri. Keluarga yang menginginkan kebahagiaan juga hendaklah menjiwai dan  mengamalkan sifat yang baik dan mulia.

Untuk menjadi ayah yang berjaya mesti mendahulukan arahan Allah SWT, jika tidak peranan ayah gagal dicapai. Adakala sikap kita melebihkan permintaan anak, takut anak merajuk bila permintaan mereka tidak dipenuhi.

Tidak dinafikan ada di kalangan masyarakat kita yang bergelar ayah melupakan tanggungjawab, meninggalkan keluarga, memperjudikan anak dan isteri dan berpelakuan sumbang. Krisis seperti ini berlaku bila hidup kita meninggalkan agama dan jauh dari tuhan.

Tahniah buat insan yang bergelar ayah, lelaki dan suami, berusaha memperbaiki diri dalam menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan dalam kehidupan.

Nabi dan rasul juga diuji dengan anak dan isteri kerana mereka juga seorang ayah. Kisah mereka ada diceritakan di dalam al-Quran. Kita jadikan ikutan kesabaran mereka sebagai panduan dan iktibar dalam kehidupan.

Ketahuilah, tugas utama seorang ayah ialah menyampaikan apa yang diperintahkan. Buat para ayah, bersabarlah dengan ujian yang ditimpakan dan susurilah sesebuah ujian yang datang itu dengan kebaikan.