Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Ayu by Tarik Jeans Persembahkan Koleksi Penuh Untuk Wanita Di Pentas KLFW 2019

Stail Helmi Anuar 30-Ogo-2019

Ayu by Tarik baru sahaja mempersembahkan koleksi penuh untuk wanita jenama itu baru-baru ini di Minggu Fesyen Kuala Lumpur atau KLFW2019. Masih mengekalkan ciri-ciri unik jenama utamanya iaitu Tarik Jeans, pertunjukan fesyen Ayu by Tarik itu sarat dengan kombinasi visual, muzik dan pelbagai elemen ranggi. Dari pemilihan model sehinggalah ke tatarias, Ayu by Tarik telah berjaya mempersembahkan koleksi penuh pertama mereka dengan cara yang amat tersendiri.

 

 

“Ayu by Tarik adalah surat cinta kami buat semua peminat-peminat Tarik Jeans terutamanya golongan wanita yang begitu setia dengan kami selama ini. Sebenarnya Ayu by Tarik telah pun ditampilkan pada tahun lepas sebagai pengenalan atau ‘preview’ namun pada tahun ini, kami persembahkan ia sebagai hero koleksi ini. Sudah tentulah ia penuh beremosi – ada rekaan yang bercirikan romantis, melankoli, agresif tanpa meminggirkan semangat jenama ini iaitu rock n roll. Selain itu, Ayu by Tarik juga amat berbangga kerana telah dipilih oleh KLFW dan pihak United Nations Technology Innovation Lab (UNTIL) sebagai salah satu jenama yang diberi penghormatan untuk menampilkan koleksi bercirikan kelestarian atau ‘sustainability’ pada tahun ini” kata Mimi Lee, pereka divisyen wanita untuk Tarik Jeans.

 

 

Koleksi tersebut terdiri daripada 20 ‘look’ termasuk 2 ‘look’ yang diambil daripada koleksi kapsul Tarik ASAS dan yang terbaru iaitu Selaseh. Koleksi kapsul Selaseh  diinspirasikan daripada ayam selaseh hitam dan ianya dikeluarkan dengan jaket denim hitam dan seluar jeans hitam dengan potongan ‘slim’ dan ‘straight’.

 

 

Melengkapkan koleksi ini adalah kolaborasi di antara Ayu by Tarik dengan model ternama Malaysia iaitu Tinie. Koleksi Selaseh dan Ayu x Tinie kini sudah boleh dibeli di laman sesawang Tarik Jeans iaitu www.tarik.my .

 

 

Ayu by Tarik juga telah menyenaraikan beberapa nama lain sebagai kolaborator, di antaranya adalah Suri Lifestyle, Secret Art Touch, Weng Rajaie, Nessy, Yati of Society Vamp dan Gula Gula Handmade.