Ayuh Tonton ‘Kunto Aji- Mantra Mantra Live’ di Singapura!

Penyanyi Indonesia terkenal, Kunto Aji, bakal membuat persembahan secara live di Singapura! Aji akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album pertamanya Generation Y dan album terbarunya, Mantra Mantra di acara ‘Kunto Aji- Mantra Mantra Live’ sempena Pesta Raya- Malay Festival of Arts di Esplanade- Theatres on the Bay, Singapura pada 27Jun 2019, jam 8 malam.

Penyanyi bersuara merdu ini mula menambat hati pendengar muzik Indonesia, Malaysia dan Singapura selepas mengeluarkan single pertamanya ‘Terlalu Lama Sendiri’ pada tahun 2014. Lagu-lagu Aji terkenal dengan lirik-liriknya yang berisi tetapi dipadankan dengan rentak yang sederhana dan mudah melekat di telinga. Pada tahun seterusnya, beliau mengeluarkan album pertamanya, Generation Y yang mengandungi lagu-lagu hits seperti ‘Ekspektasi’ dan ‘Akhir Bulan.’ Selepas itu, Aji mengeluarkan single, ‘Konon Katanya’ dan diikuti oleh Overthinker EP dan paling terbaru, album Mantra Mantra tahun lalu.

Sepanjang kerjayanya sebagai pemuzik, Aji telah dicalonkan untuk pelbagai anugerah, baik di Indonesia mahupun anugerah serantau. Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau adalah  Breakthrough Artist of The Year di NET. Indonesian Choice Awards pada tahun 2015, dan Lagu Terbaik (Indonesia) serta Artis Baru Terbaik (Lelaki) di Anugerah Planet Muzik pada tahun yang sama.

Persembahan Kunto Aji- Mantra Mantra Live di Pesta Raya- Malay Festival of Arts akan berlangsung selama 80 minit tanpa intermission dan tiket boleh didapati pada harga $30 sahaja di pautan ini. Ada juga tiket konsesi terhad untuk warga emas dan pelajar, serta diskaun pembelian berkumpulan.

Kami tak sabar hendak menonton Aji mempersembahkan lagu-lagu seperti ‘Topik Semalam,’ ‘Amatiran,’dan  ‘Rehat’ secara live. Anda bagaimana? Jumpa nanti di Pesta Raya, Esplanade- Theatres on the Bay.

 

 

Gambar: Ihsan Esplanade- Theatres On The Bay