Bagaimana Al-Ghazali mengubah falsafah dan teologi

Cerita Utama Minggu Ini Hanita Hassan 02-Sep-2020
Al-Ghazali
Al Ghazali | Author Unknown

Islam adalah satu agama yang meletakkan nilai yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu, golongan sarjana disanjung tinggi, dihargai dan sangat dihormati. Bercakap tentang sarjana intelektual Islam yang berkebolehan luas, satu nama yang terlintas di fikiran ialah Al-Ghazali.

Ramai yang mengenalinya sebagai Al-Ghazali. Nama penuhnya ialah Abu Hamid Muhammad Ibn Muhammad At-Tusiyy Al-Ghazzaliy. Beliau dilahirkan di wilayah yang kini dikenali sebagai Republik Islam Iran.

Salah seorang cendekiawan legenda pada zaman kegemilangan Islam.  Beliau membezakan dirinya sebagai intelek cemerlang yang mana karya-karyanya meninggalkan kesan luar biasa kepada generasi teologi, mistik, falsafah dan fekah. Seorang yang prolifik berkarya sehingga diberi gelaran Hujjat al-Islam (Bukti kepada Islam).

Al-Ghazali melihat bahawa pada zamannya, kerohanian secara tradisi dan kerohanian sains dalam Islam sebagai suatu keimanan sudah semakin pudar dan memerlukan peremajaan sewajarnya. Dia yakin bahawa ajaran yang diajar oleh generasi umat Islam terdahulu telah terhakis sedikit demi sedikit. Justeru dengan semangat revolusi inilah, Al-Ghazali berusaha meninggalkan jejaknya di bidang falsafah dan teologi Islam.

Seorang penulis produktif, pemikirannya berlegar di sebalik banyak karya dan sebahagian karyanya lebih berpengaruh berbanding karya yang lain.  Salah satu karya besar yang tidak dapat dilupakan adalah Ihya Ulum Ad-Din (Kebangkitan Ilmu Keagamaan).  Dalam karya ini, semua bidang sains Islam dibincang secara praktikal. Ini termasuk bidang teologi (kalam), perundangan Islam (fiqh) dan mistik.

Karya lain yang turut dihasilkan ialah Tahafut Al Falasifa (ketidakselarasan ahli falsafah). Tahafut Al Falasifa adalah karya falsafah yang hebat sehingga  digunakan sehingga ke hari ini. Dalam karya ini, dia memberikan hujah bahawa semua yang berlaku bukan datangnya daripada kekuatan material, tetapi kerana Allah SWT mengkehendakinya.

Dia juga menarik perhatian para ilmuan seluruh dunia apabila dengan lantang menolak hujah Plato dan Aristotal.  Kemudian dalam karyanya berjudul ‘The Eternity of the World’, perbincangan tertumpu kepada penolakan terhadap pandangan Aristotle berhubung soal takdir dan alam semesta sepertimana yang kita ketahui.

Meskipun bergelar sarjana terhebat di muka bumi ini, Al-Ghazali tidak sekali-kali lupa bahawa semua kejayaannya adalah daripada Allah SWT.  Justeru, dia tetap merendah diri dan mengekalkan cara hidup sebagai orang beragama.  Dia menghindari gaya hidup materialisme dan berminat kepada pengasingan kerohanian serta meditasi intelek.

Pada penghujung usaha inteleknya, Al-Ghazali telah berjaya menghasilkan lebih daripada 70 karya mengenai pemikiran Islam, alam mistik, sains dan falsafah dan lebih daripada 400 karya telah dikaitkan dengannya.  Dia tidak hanya menyumbang kepada bidang falsafah dan teologi Islam tetapi juga berjaya mentakrifkan semula semua bidang tersebut.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan oleh Al-Ghazali dan menganugerahi dia dengan rahmat-Nya di Akhirat. Aamin.