Bagaimana Atasi Kemurungan Mengikut Islam?

Sahsiah Rahayu Mat Nah 16-Jul-2019

Setiap individu berhadapan dengan ujian yang berbeza daripada Allah. Ada yang mampu menghadapinya dengan baik, ada juga yang tumpas.

Bagi yang tidak kuat, masalah kemurungan pasti berlaku. Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.

Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu dan ada kes berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa.

Jadi, jangan sesekali melihat kemurungan sebagai perkara yang enteng. Jika tidak diatasi segera, ia hanya mendatangkan kemudaratan yang tidak terduga. Bunuh diri, penderaan, menyerang ahli keluarga sendiri, serta membunuh anak sendiri adalah antara kes yang membabitkan kemurungan.

Perhatikan orang-orang di sekeliling anda. Adakah sahabat, rakan atau ahli keluarga anda sendiri memerlukan pertolongan untuk mengatasi kemurungan.

Antara tanda-tanda kemurungan adalah seseorang itu kelihatan bersedih secara berpanjangan, hilang minat atau keseronokan terhadap aktiviti yang sebelum ini mendatangkan kegembiraan, cepat rasa letih dan tidak bertenaga, mudah putus asa, mudah rasa bersalah dan rasa diri tidak berguna.

Tanda-tanda lain adalah selalu mendapat gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur, hilang selera makan, berat badan turun mendadak, mudah marah, dan lebih parah lagi ada yang mula berfikir untuk membunuh diri untuk menyelesaikan masalah.

Jadi bagaimana cara untuk mengatasi kemurungan mengikut Islam?

 

1) Mohon pertolongan daripada Allah

Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud ; “Maka ingatlah kepadaKu. Aku juga akan ingat kepadamu” (Surah al-Baqarah ayat 152).

Ini merupakan peringatan dan panduan bahawa andai kita sentiasa ingat dan membesarkan keEsaanNya, maka Allah S.W.T akan melindungi kita sepanjang masa.

Begitu jua dengan ingatan Allah S.W.T dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (l-Baqarah, ayat 153).

Ini adalah isyarat jelas bahawa Allah S.W.T akan membantu dan melindungi kita sebagai hambaNya mengatasi sebarang permasalahan termasuk masalah mental dan kemurungan dengan syarat kita berusaha dan banyakkan berdoa dengan penuh kesabaran. Jangan sesekali meninggalkan solat.

2) Berzikir

Memperbanyakkan zikir akan lebih mendekatkan diri kepada Allah dan juga bisa membuatkan hati menjadi lebih tenang.

Zikir merupakan salah satu terapi psikiatrik yang ampuh untuk diterapkan pada jiwa manusia.

 

3) Beriman kepada takdir yang baik dan buruk

Rukum Iman ke-6 iaitu beriman pada qada dan qadar juga bisa menjadi salah satu cara untuk mengatasi depresi. Sebagai umat yang patuh, harus menerima segala takdir yang sudah digariskan oleh Allah S.W.T, baik itu takdir yang baik ataupun takdir yang buruk.

Jika mendapatkan keburukan tak perlu berlarut dalam kesedihan. Orang yang percaya takdir dan beriman pada takdir maka mendapatkan manfaat dari rukun Iman dengan segala hal yang terjadi padanya akan diterima.

 

4) Eratkan silaturrahim

Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Meluangkan masa dengan ahli keluarga seperti berbual-bual, menikmati makan malam bersama serta melakukan aktiviti-aktiviti menyeronokkan boleh menghindarkan seseorang daripada depresi.

 

5) Tawakkal

Tawakkal adalah perasaan untuk selalu yakin dan bersikap positif kepada Allah. Sikap ini juga bisa menjadi salah satu cara menjadi muslimah yang baik menurut Islam. Terima segala ujian dan dugaan dengan hati yang tenang dan yakinlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

 

6) Jalani kehidupan dengan seimbang

Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi generasi yang cergas, cerdas dan bersemangat untuk menghadapi cabaran kehidupan yang sememangnya menekan emosi dan jiwa.

Islam menggalakkan kita menyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya ialah menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah serta lakukan aktiviti fizikal dan riadah secara rutin.

7) Dapatkan nasihat profesional

Amat membimbangan kerana ramai individu yang mempunyai masalah mental kebanyakannya memilih untuk tidak berjumpa dengan pakar kerana terperangkap dengan stigma ia hanya untuk orang yang hilang akal atau gila.

Persepsi ini bagaimanapun perlu diperbetulkan segera. Jika anda bergelut dengan kemurungan atau tekanan, dapatkan bantuan dengan kadar segera daripada pihak klinik atau hospital.

Jika rawatan dilakukan pada peringkat awal, penyakit mental ini akan sembuh dengan lebih baik di samping dapat mengelak daripada perkara tidak diingini berlaku.

Organisasi berikut boleh dihubungi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali sedang mengalami kemurungan dan mempunyai kecenderungan membunuh diri:

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – 03-7782 5499

Befrienders Kuala Lumpur – 603-79568145 (24 jam)

Befrienders Seremban – 06-6321772 / 06 – 6321773 (24 jam)

Befrienders Penang – 04-2811108 / 04- 2815161 (24 jam)

Befrienders Melaka – 06-2842500

Befrienders Ipoh – 05-5477933 / 05-5477955

Untuk lain-lain cawangan Befrienders, anda boleh semak di sini : –

https://www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia

Ingat! Depresi bukan penyakit gila. Ia kombinasi yang kompleks mengenai komposisi kognitif. Depresi juga merangkumi isu genetik dan penghasilan kimia dalam tubuh. Selain soal utama yang bersangkutan dengan kejiwaan dan perasaan.

 

Sumber : http://www.moh.gov.my / www.usim.edu.my

Kredit foto : Francisco Moreno, Jacob Postuma, Unsplash