Bagaimana diet ketika berpantang?

Keluarga Hanita Hassan 28-Okt-2020
dreamstime_s_122189960
Bagaimana diet ketika berpantang? © Aqnus Febriyant | Dreamstime.com

Ramai wanita yang baharu bersalin berhasrat menurunkan berat badan.  Sepanjang waktu mengandung, berat badan naik tanpa dikawal kerana keliru dengan istilah makan untuk dua orang.

Meskipun ia saranan yang baik untuk menggalakkan anda makan mencukupi, namun ia akan mengakibatkan berat badan naik mendadak jika tidak dikawal. Ia juga mengundang komplikasi kepada pelbagai penyakit seperti kencing manis, sakit belakang, darah tinggi atau pembedahan kerana bayi besar.

Makan bertambah terutama jika menyusukan bayi

Tidak disangkal bahawa selepas melahirkan bayi, nafsu makan semakin bertambah dan sentiasa berasa lapar terutama jika anda menyusukan bayi.  Perlu diingat bahawa anda memerlukan tenaga untuk menghasilkan susu.  Secara purata, untuk menghasilkan 100 mililiter susu, anda perlu menggunakan sebanyak 85 kalori.

Sekiranya anda menghasilkan lingkungan 500 hingga 700 mililiter susu sehari, ini bermakna anda akan membakar tenaga sebanyak 420 hingga 600 kalori sehari. Tenaga tambahan yang diperlukan akan diperolehi daripada simpanan lemak sedia ada. Ini bermakna, menyusu badan boleh membantu anda mengurangkan berat badan.

Namun apabila keperluan menghasilkan susu semakin berkurang, tetapi pemakanan anda masih sama seperti dahulu, kalori berlebihan yang diambil yang tidak dibakar akan disimpan dalam badan sebagai lemak.  Sekiranya proses ini berterusan, hasrat anda untuk menurunkan berat badan tidak akan terlaksana.  Kenaikan berat badan akan menjadi ketara.

Senaman secara berkala perlu dilakukan supaya kalori berlebihan dibakar dan tidak disimpan sebagai lemak.  Sekurang-kurangnya anda perlu bersenam 30 minit setiap sesi dan dilakukan tiga kali semnggu.  Dalam masa yang sama teruskan memberi susu kepada bayi anda sehingga bayi berusia dua tahun.

Jika bekerja dan bayi anda tiada bersama, pastikan anda memerah susu setiap tiga jam untuk memastikan susu terus dihasilkan. Diet yang berkhasiat dan pelbagai akan mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin. Sama ada anda memberi bayi susu badan atau susu formula, anda harus  mengamalkan diet yang sihat.

Berpantang kaedah menurunkan berat badan

Berpantang adalah salah satu kaedah yang cepat untuk menurunkan berat badan selain baik untuk kesihatan anda dan bayi untuk jangka panjang.  Pertambahan berat badan semasa berpantang juga boleh disebabkan gaya pemakanan kurang sihat dan tidak seimbang sebagaimana saranan dalam piramid makanan.

Panduan umum berikut dapat membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat.  Jangan tinggal sarapan pagi.  Makan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.  Sertakan banyak makanan berserat tinggi seperti oat, kekacang, lentil, bijirin dan biji-bijian.  Pastikan hidangan makanan anda mengandungi makanan berkanji seperti roti, nasi dan pasta.

Anda juga hendaklah mengurangkan makanan bergoreng, makanan segera, konfeksi, kek dan minuman bergas, yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi.  Kawal saiz hidangan pada waktu makan dan jenis snek serta kekerapan anda mengambilnya di antara waktu makan.

Beberapa jenis menu sihat yang boleh dihidangkan semasa berpantang.  Nasi putih, ayam bakar, selar singgang, ulam pegaga, serunding ikan, hati goreng halia, epal, oren, sawi stim, siakap stim, siakap singgang, sawi celur, serunding halia ikan bilis, tenggiri bakar, jus anggur merah, daging lada hitam dengan halia dan sup ayam berempah.

Menu ini  bukan sahaja enak ketika berpantang tetapi juga untuk anda yang ingin berdiet dan menjaga pengambilan kalori.  Anda cuma perlu mengurangkan sahaja jumlah nasi dalam setiap hidangan.  Selamat mencuba.