Bagaimana Islam di Tatarstan, Rusia mula bertapak?

Eropah Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Bagaimana Islam di Tatarstan, Rusia mula bertapak?
Bagaimana Islam di Tatarstan, Rusia mula bertapak? (foto: Kazan, Tatarstan) © Konstantin Pukhov | Dreamstime.com

Tatarstan yang terletak di Rusia merupakan negeri Islam pertama yang diwujudkan di republik tersebut. Bagaimana boleh terbentuknya sebuah wilayah Islam di negara dengan majoriti penduduk yang beragama Kristian?

Ini sejarah bagaimana bertapaknya Islam di Tatarstan.

Republik Tatarstan, wilayah Islam di Rusia

Tatarstan, atau nama rasminya Republik Tatarstan adalah salah sebuah wilayah atau negeri yang terletak dalam pentadbiran kerajaan Rusia. Ia merupakan sebahagian daripada Daerah Persekutuan Volga. Ibu negeri bagi Tatarstan pula dikenali dengan nama Kazan.

Bancian yang dilakukan pada tahun 2010 mendapati bahawa jumlah keseluruhan penduduk di Tatarstan adalah lebih daripada 3 juta orang. Ia merupakan sebuah negeri Islam sejak tahun 922 Masihi hinggalah sekarang.

Bilakah bermulanya Islam di Tatarstan?

Pada sekitar tahun 700 hingga 1238 Masihi, terdapat sebuah kerajaan yang bernama Volga Bulgaria di kawasan yang kini dikenali sebagai Tatarstan. Pada tahun 921 Masihi, pemerintah Volga Bulgaria iaitu Almis Iltabar telah meminta bantuan khalifah Islam untuk menyebar dan mengajarkan Islam di sana.

Almis Iltabar ialah pemerintah Volga Bulgaria yang pertama memeluk Islam. Apabila Almis Iltabar memeluk Islam, ia secara tidak langsung menjadikan Volga Bulgaria sebagai negeri Islam pertama dalam Rusia moden.

Sekitar tahun 1430, wilayah ini telah telah dijadikan sebagai tapak kekuasaan bagi Khanate of Kazan (Kazan Khanate), sebuah kerajaan Islam baharu. Ibu kota bagi pentadbiran Kazan Khanate didirikan di Kazan. Namun, penguasaan Kazan Khanate ke atas wilayah ini tidak lama apabila ia telah ditakluk oleh Raja Rusia, Tsar Ivan IV the Terrible.

Ketika ditakluk oleh Tsar Rusia, kebanyakan rakyat Tatar telah dipaksa untuk menukar agama mereka kepada Kristian. Malah, masjid yang terletak di Kazan juga dirobohkan oleh Tsar Rusia.

Islam di Tatarstan ditekan sewaktu penguasaan Soviet Union

Pada tahun 1920, negeri Tatarstan ini ditukarkan nama dan statusnya kepada Tatar Autonomous Soviet Socialist Republic (Tatar ASSR) di bawah penguasaan Soviet Union.

Pada zaman ini, banyak pemerasan dan tekanan teah dilaksanakan ke atas penduduk Tatar khususnya mereka yang beragama Islam. Pihak Soviet Union telah melarang penggunaan bahasa Tatar yang banyak menggunakan huruf-huruf Arab dalam penulisannya.

Penguasaan Soviet Union ini adalah antara masa yang paling memeritkan bagi umat Islam di Tatar.

Perkembangan Islam kini di Tatarstan

Pada masa kini, umat Islam di Tatarstan sudah boleh mengamalkan ajaran Islam dengan bebas tanpa sebarang tekanan. Negara Tatarstan juga sudah kerap kali menganjurkan acara-acara berkaitan Islam di peringkat antarabangsa.

Tatarstan pernah menjadi hos bagi festival filem muslim antarabangsa yang melibatkan penyertaan 28 buah negara. Tatarstan juga mempunyai sebuah universiti Islam yang terletak di Kazan dan ia merupakan universiti Islam pertama yang diwujudkan di Rusia.

Pada tahun 2010, perkhidmatan perbankan Islam juga telah mula diperkenalkan di Tatarstan. Walaupun banyak masjid pernah dirobohkan sebelum ini, namun kini Tatarstan memiliki lebih daripada 1000 buah masjid.

Malah, terdapat lebih daripada 1000 persatuan muslim yang berdaftar di sana pada ketika ini. Walaupun penduduk muslim Tatar pernah ditekan sebelum ini, kini mereka telah bangkit kembali dan terus mengamalkan ajaran Islam dengan kuat di sana.