Bagaimana keimanan mengubah kesihatan mental ketika perintah berkurung

Kesihatan 07 Dis 2020 Hanita Hassan
Hanita Hassan
dreamstime_s_174807276
Bagaimana keimanan mengubah kesihatan mental ketika perintah berkurung © - Dreamstime.com

Penyebaran COVID-19 telah menyebabkan perintah berkurung dan pengasingan diri  di semua negara yang dijangkiti sama ada di Barat mahupun di Timur. Secara mudahnya ia bermaksud kita terpaksa berkurung di rumah.

Berkurung selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan dalam lingkungan persekitaran menyerupai hukuman penjara yang dikenakan sendiri. Dan di dalam penjara ini, ada musuh yang tidak dapat dilihat yang mengintai hingga saatnya matang untuk menyerang. Nama musuh ini adalah ‘kemurungan’.

Keimanan mengubah kesihatan mental ketika perintah berkurung

Secara psikologi, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemurungan.  Kita terpaksa menghabiskan masa di persekitaran yang tertutup dan perlu berinteraksi dengan individu lain yang mungkin telah menceroboh ruang peribadi dan menyalahgunakan masa daripada rutin kebiasaan.

Tidak dinafikan dalam keadaan seperti ini, ‘Rumahku Syurgaku’ seolah-olah penjara bawah tanah dan ‘kekasih tersayang’ anda berubah menjadi raksasa.  Ditambah  pula  dengan ketidakpastian tempoh kekacauan ini akan membuatkan fikiran anda beku seolah-olah berada di zon yang suram.

Anda boleh mencuba mengambil pendekatan yang telah diuji untuk menyelesaikan masalah iaitu dengan menggunakan Millati Islami, program 12 langkah untuk pulih daripada ketagihan. Langkah ini berfungsi bagi mengatasi masalah mental melalui tiga langkah yang relevan kepada semua kes berkaitan:

  • Mengaku bahawa anda mengabaikan kepentingan diri sehingga menjadikan kehidupan tidak terkawal
  • Perlu percaya bahawa Allah SWT pasti dapat mengembalikan dan  akan menjadikan anda sihat semula
  • Membuat keputusan menyerahkan segala urusan mengikut kehendak Allah SWT

Kunci kepada penyelesaian masalah ini telah ditemui. Keimanan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Ia termasuk memperkukuh pengetahuan  kerohanian dalam mencari sokongan, pencerahan dan kepercayaan.

Keimanan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT

Apabila kita berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, kita dijanjikan kejayaan oleh-Nya dan tidak akan menghantar penyakit tanpa penawarnya. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 5678)

Pendekatan ini bukan sahaja baik dari segi keagamaan semata-mata, tetapi juga dibuktikan secara kukuh oleh para saintis. Satu kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Harvard Medical School dan diterbitkan dalam ‘Journal of Affective Disorders’ membuat saranan bahawa “tahap kepercayaan yang lebih tinggi dikaitkan dengan penurunan gejala kemurungan dan tingkah laku yang membahayakan diri sendiri, dan peningkatan yang lebih besar dalam kesejahteraan psikologi keseluruhan sepanjang rawatan”.

Wartawan Muslim, Hasnet Lais menyimpulkan hasil penelitian tersebut dengan mengatakan bahawa “agama mempengaruhi tahap struktur mikro dan anatomi otak, serta membantu membentuk proses kognitif anda untuk bertindak sebagai penampan terhadap beberapa keadaan kesihatan mental.”

Oleh itu, kita menyimpulkan bahawa keimanan dapat membantu  mengatasi masalah kemurungan dan kesihatan mental yang lain. Selebihnya cuma usaha dengan menguatkan kesetiaan dan kepatuhan terhadap Islam ketika kita mengalami  penderitaan mental.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”

(Surah at-Thalaaq, ayat 3)