Bagaimana kita boleh menenangkan jiwa?

Bagaimana kita menenangkan jiwa? © Odua | Dreamstime.com

Dalam kehidupan ini, adakalanya manusia terlalu leka dalam mengejar nikmat dunia sehingga lupa kepada pemberi segala nikmat, Allah Yang Maha Pemurah. Tidak hairanlah kini makin ramai orang yang mengalami masalah tidak tenang dan menghadapai tekanan jiwa. Apabila terjadi begini segeralah kembali kepada fitrah dan perbanyakkanlah mengingati Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang berlaku adil.”

Berdasarkan ayat ini, Islam tidak membataskan umatnya untuk berbuat baik sesama mereka saja, bahkan menaungi semuanya tanpa mengira kaum, budaya dan agama termasuk makhluk seisi alam. Orang yang berbuat baik disukai dan dikasihi Allah SWT, malah diberikan ganjaran pahala dan ketenangan jiwa.

Berbuat baik bermula dari diri sendiri. Terapkan kebaikan dalam diri dan keluarga dan jadikanlah ianya suatu kebiasaan dalam kehidupan. Antara perkara mudah yang boleh dimulakan ialah:

Bersyukur

Belajar untuk sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita sebagai hamba yang kerdil dan seringkali melakukan dosa. Diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, diberikan kemudahan dalam setiap urusan adalah antara nikmat-nikmat Allah.

Firman Allah SWT dalah surah Ibrahim, ayat 7: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

Atas dasar kita bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah SWT turunkan, maka Allah menambahkan kebaikan kepada kita. Jika kita merasakan bahawa ujian dan kehidupan kita susah, maka pandanglah kepada mereka yang hidupnya jauh lebih susah. Dengan itu, kita pasti dapat mengajar hati kita untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah.

Bersedekah

Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Ini jelas menunjukkan bahawa bersedekah itu adalah amalan yang sangat mulia di mana Allah akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan kita, melapangkan dada dan membuatkan hati kita merasa bahagia.

Setiap perbuatan yang baik pasti akan dibalas baik, namun sebaliknya berlaku jika kita pula melakukan perbuatan yang tidak baik.

Maaf-memaafi

Salah satu perkara yang menghalang kita daripada merasa ketenanangan jiwa adalah bila hati kita masih menyimpan perasaan marah dan dendam kepada orang lain. Sebaiknya, setiap malam sebelum tidur, niatkan di dalam hati untuk memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menyakiti hati kita.

Bentuklah diri untuk menjadi seorang yang pemaaf demi mendapatkan sebuah ketenangan meskipun memaafkan itu kadang kala sukar untuk dilakukan secara telus dari hati. Rendahkan ego dan buang segala perkara yang telah menyakiti kita.

Semoga setiap perbuatan baik yang kita lakukan memberikan kita sebuah ketenangan jiwa yang sentiasa mendamaikan hati.