Bagaimana memilih kawan?

Kehidupan Zalika Adam 14-Ogo-2020
Bagaimana memilih kawan? © Emeritha Sylvia Sooyon | Dreamstime.com

Kawan boleh diertikan sebagai teman yang sentiasa bersama kita. Dalam bahasa Arab beberapa istilah yang disebut sebagai kawan iatu ‘Ashab’,’Shodiq’, dan ‘Zamil’. Namun penggunaan istilah ini digunakan pada tempat-tempat tertentu. Dalam satu hadis ada menyebut yang maksudnya: “Islam pada agama seseorang kawan, maka lihatlah dengan siapa dia berkawan.”

Syeikh Abdullah Al-Harari menyatakan yang maksudnya: “Pilihlah untuk dirimu seorang kawan yang baik. Beliau menyatakan lagi: “Sesiapa yang hendakkan kemajuan, maka berkawanlah dengan orang yang baik.”

Islam amat menitikberatkan soal pemilihan kawan, kerana kawanlah akan menentukan baik buruknya perangai seseorang. Kawan yang baik akan membawa kita ke arah ketaatan kepada Allah SWT. Manakala kawan yang tidak baik akan mengajak ke arah kemungkaran dan kejahatan.

Golongan remaja sering terpengaruh dengan kawan, jika kawannya baik, dia akan sama-sama ke masjid mengerjakan solat, mengulangkaji pelajaran. Bahkan, kawan yang mengajak ke arah kejahatan boleh mengundang ke bahana kehinaan. Ada juga sehingga dipenjarakan dek terikut dengan gerak geri kawan yang melalaikan. Nauzubillah min zalik.

Apakah kita sentiasa bersama kawan setiap masa dan ketika? Golongan remaja yang gemar bermain permainan dalam talian atau video game dan berurusan di hadapan media sosial, mereka sering terjerat dengan kehidupan yang mencabar ini.

Amat sedih direnung dan dihayati kerana mereka cepat terpengaruh dengan keadaan kawan mereka. Bermain sehingga larut malam, bercakap tanpa henti-henti. Seoalah-olah menjadikan ia satu sembahan yang tidak dapat direnggangkan dari genggaman tangan.

Peranan ibu dan bapa dalam menentukan kawan kepada anak-anak amat membantu masa hadapan mereka. Namun, ibu bapa tidak berada bersama-sama kawan anak-anak ketika mereka bersama-sama. Selalu intip  dan kawal akan perbuatan yang dibuat oleh mereka setiap detik dan masa.

Oleh itu, panjatkanlah doa kepada Allah SWT agar anak-anak kita selalu di samping kawan-kawan yang baik. Doa ibu dan bapa tiada hijabnya. Maka seringlah bangun di tengah-tengah malam memohon keampunan dan inayah dari Allah Rabbul jalil, atas kesilapan yang pernah dilakukan.

Pohonlah ke hadrat Allah SWT agar anak-anak sentiasa bersama teman-teman yang mengajak ke arah kebaikan. Tanpa disedari peribadi terbentuk dengan inayah dari Allah.